Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata individu politik harus mencontohi tokoh seperti bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba yang tidak mempunyai kelulusan tinggi.
Individu politik harus mencontohi tokoh seperti bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba yang tidak mempunyai kelulusan tinggi.

GEORGE TOWN – Seseorang ahli politik tidak perlu berasa malu dengan tahap sijil kelayakan yang diperolehinya sebaliknya hendaklah sentiasa bersikap telus dengan apa yang dimiliki, kata Pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata individu politik harus mencontohi tokoh seperti bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba yang tidak mempunyai kelulusan tinggi.

“Pada saya, kita perlu menjadi seorang yang berintegriti, tidak perlu malu, contohi Tun Ghafar Baba, beliau tidak mempunyai kelulusan Ijazah dan beliau hanya guru biasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Tahun Baharu Cina PKR Pulau Pinang di sini hari ini.

Muhammad Bakhtiar diminta mengulas mengenai kelulusan akademik yang dimiliki oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang Datuk Marzuki Yahya.

Beliau berkata pada zaman yang canggih ini, rakyat boleh menyemak segala maklumat dengan mengambil masa hanya beberapa saat sahaja.

Muhammad Bakhtiar bagaimanapun berkata pihaknya (PKR) enggan mencampuri urusan parti berkenaan dan berkata biar pucuk pimpinan parti PPBM yang menyelesaikan isu Marzuki itu.

Berhubung pelantikan Marzuki sebagai Timbalan Menteri Luar dan juga Setiausaha Agung Bersatu , Muhammad Bakhtiar berkata pelantikan seseorang individu politik bukan sahaja bergantung kepada sijil kelayakan, tetapi juga berdasarkan “performance” sebagai seorang wakil rakyat.

Semalam, Marzuki telah mengemukakan bukti bahawa beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Logistik) daripada Cambridge International University (CIU), Amerika Syarikat.

Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, beliau turut memaparkan salinan transkrip rekod akademik dan sijil ijazah daripada CIU sekali gus membuktikan beliau adalah siswazah CIU dan bukannya University of Cambridge, United Kingdom.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Bakhtiar berkata beliau akan memangku jawatan Pengerusi PKR negeri sehingga kepimpinan pusat melantiknya sebagai pengerusi bagi PKR negeri itu.

Pada 17 Dis lepas, Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR selain melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang, yang dilantik.

— BERNAMA