Etnik Uighur
Etnik Uighur di wilayah Xinjiang berdepan tekanan dan layanan buruk Kerajaan China. foto AP

ANKARA – Kerajaan Turki mengutuk sekerasnya layanan buruk China terhadap masyarakat Islam etnik Uighur sambil menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang memalukan kemanusiaan.

Menurut jurucakap Kementerian Luar Turki, Hami Aksoy, tindakan China bukan lagi satu rahsia apabila dengan sewenang-wenangnya menahan lebih sejuta etnik Uighur di kem tahanan.

Katanya, masyarakat Islam Uighur Turki juga berdepan dengan tekanan dan asimilasi sistematik dari China Barat.

“Bukan rahsia lagi bahawa lebih daripada satu juta orang Uighur Turki terdedah kepada penangkapan meragukan, diseksa dan dipaksa ideologi politik di pusat tahanan dan penjara.

“Kami menggesa pihak berkuasa China menghormati hak asasi manusia Uighur Turki dan menutup kem tahanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mendakwa China terlibat dengan pembunuhan beramai-ramai selepas menjalinkan hubungan diplomatik dan ekonomi yang lebih erat dengan Beijing.

Wilayah Xinjiang China adalah rumah kepada kira-kira 10 juta penduduk etnik Uighur dan muslim Turki pula membentuk hampir 45 peratus penduduk di wilayah itu.

Pada Ogos tahun lepas, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima laporan boleh dipercayai bahawa lebih sejuta etnik Uighur dan minoriti berbahasa Turki lain ditahan di kem pendidikan semula bertujuan untuk memaksa mereka meninggalkan Islam.

Beijing menafikan etnik Uighur ditahan sebaliknya mengatakan ia adalah latihan sukarela di kemudahan latihan vokasional, yang direka untuk menyediakan latihan pekerjaan dan menghapuskan kecenderungan pelampau.

Bulan lalu, China meluluskan undang-undang untuk mensisihkan Islam dan menjadikannya serasi dengan sosialisme dalam tempoh lima tahun akan datang. – Agensi