Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Calon yang berhasrat bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih digesa mengisi dan membuat semakan awal borang mereka di pejabat Majlis Perbandaran Kajang atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor sebelum hari penamaan calon pada 16 Februari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, tujuan semakan awal adalah untuk memastikan semua bakal calon mengisi borang tersebut dengan betul, menepati syarat serta kelayakan ditetapkan.

“Ini juga bagi mengelak berlaku kesilapan pengisian borang sebelum hari penamaan calon.

“Langkah ini dapat menjamin proses penamaan calon pada hari penamaan calon Sabtu ini berjalan lancar dan mengikut tempoh masa ditetapkan.

“Malah, ia juga dapat memberi peluang kepada parti yang calonnya didapati tidak layak semasa semakan awal untuk membuat persiapan sewajarnya pada hari penamaan calon,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

PRK DUN Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

Serentak itu, SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 16 Februari, manakala mengundi awal 26 Februari dan hari mengundi biasa pada 2 Mac ini.

Menurut Azhar Azizan, kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor perlu dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadangnya kepada Pegawai Pengurus pada hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan SPR Sabtu ini.

Selain itu, katanya, bakal calon juga digesa membuat pembayaran deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen lebih awal.

“Mereka diminta mengambil pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran deposit dibuat bagi tujuan kebenaran memasuki Pusat Penamaan Calon.

“Ini adalah untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berjalan lancar pada hari penamaan calon nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast