Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad sambil diiringi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin (lima kiri) dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Marzuki Yahya (empat kanan) bergambar bersama Bekas-bekas Ahli Parlimen UMNO yang telah menyertai PPBM pada sidang media khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 12 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini mengumumkan penerimaan tujuh ahli Parlimen UMNO ke dalam parti itu.

Ketujuh-tujuh ahli Parlimen tersebut iaitu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut); Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor); Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Datuk Seri Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Pengumuman dibuat oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu sidang media di sini hari ini.

Mahathir turut menyerahkan kad keahlian parti itu kepada bekas ahli parlimen UMNO berkenaan.

Bekas timbalan menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin meninggalkan UMNO pada Julai tahun lepas dan mengemukakan permohonannya untuk menyertai Bersatu pada Disember lalu.

Enam lagi ahli parlimen parti itu kemudian bertindak meninggalkan UMNO kemudiannya.

Hamzah pula merupakan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Beberapa pihak termasuk dalam kalangan anggota Pakatan Harapan (PH) sebelum ini membantah keras tindakan menerima bekas ahli parlimen UMNO ke dalam gabungan itu meskipun mereka menjadi ahli parlimen bebas buat seketika. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Orang2 Di Bawah Parlimen Larut,mau x kita undi semula pilih MP baru.kita x mau pengkhianat yg kita undi menang pru14 ari tu jadi wakil parti lain.sbb kita pilih dia atas nama BN..mau dak?ketua2 bahagian mesorat la..

Comments are closed.