KUALA LUMPUR- Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Kematian Enam Anggota Bomba di Lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor akan dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri pada 27 Februari ini.
Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, hasil laporan siasatan dan tindakan penambahbaikan akan diumumkan selepas pembentangan tersebut.
Jelasnya, laporan siasatan tersebut telah diserahkan dan beliau telah diberi taklimat berhubung hasil siasatan berkenaan, semalam.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 November 2018 telah bersetuju supaya sebuah Jawatankuasa Siasatan ditubuhkan bagi mengkaji dan mengenal pasti punca sebenar kejadian dan seterusnya mencadangkan langkah penambahbaikan agar insiden sebegini tidak berulang lagi di masa hadapan.
Sesi Gerak Kerja Jawatankuasa Siasatan Kematian Enam Orang Anggota Bomba di Lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor pada 3 Oktober 2018 telah dilaksanakan selama 21 hari sepanjang tempoh 26 November 2018 – 14 Januari 2019 bagi menyiapkan laporan Insiden ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kematian enam orang anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada 3 Oktober tahun lepas adalah insiden pertama dalam sejarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sepanjang 135 tahun penubuhannya.
Artikel Berkaitan:
6 anggota bomba mati lemas ketika operasi selamatkan seorang lelaki
6 anggota PPDA yang lemas patuhi SOP – KP JBPM
Enam anggota bomba syahid – Mufti