UMNO
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 JANUARI 2019.

KUALA LUMPUR – “Saya syorkan Perdana Menteri membuat rombakan kabinet dalam masa terdekat demi kelangsungan rakyat dan kepentingan negara.

“Kalau diikutkan sebagai pembangkang, kenapa kita mahu cadangkan rombakan kabinet tetapi ini benda baik dan kerana kita merasakan kredibilti menteri dan timbalan menteri yang ada pada hari ini seorang demi seorang dipersoalkan,” kata Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata demikian selepas mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad seolah-olah tidak yakin dengan menteri-menteri kabinetnya sendiri.

Beliau merujuk penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) oleh kerajaan namun Perdana Menteri tidak melantik Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.

Walhal, kata Asyraf, majlis itu ditubuhkan bagi kos sara hidup rakyat namun kedua-dua menteri berkaitan tidak dilantik menjadi ahlinya.

“Kalau fokusnya adalah untuk menangani kos sara hidup saya tertanya-tanya mana menteri KPDNHEP di dalam anggota MTEN kerana menteri terbabit dan Menteri Pembangunan Luar Bandar adalah menteri- menteri yang terlibat secara langsung dalam apa juga keputusan besar yang melibatkan kos sara hidup… kalau itulah objektif Majlis Tindakan Ekonomi.

“Kalau selain daripada itu buat apa kita nak meningkatkan kos dengan mewujudkan satu kumpulan lain jika kita sudah mempunyai anggota pentadbiran. Menteri dan timbalan menteri telah mempunyai anggota pentadbiran kerajaan yang mempunyai pengalaman yang luas sejak daripada zaman kerajaan BN memerintah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat sayap UMNO itu di sini hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, perkembangan itu menunjukkan Mahathir tidak menyakini kepimpinan anak-anak buahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast