CENTRAL – Hong Kong kekal sebagai pasaran pejabat paling mahal di dunia pada tahun ini meskipun harga sewa diunjur menurun, menurut Knight Frank LLP.
Menurut laporan tinjauan pasaran pejabat global Knight Frank LLP, harga sewa di wilayah Central Hong Kong dijangka susut sehingga 7.0 peratus pada tahun ini.
Namun, hubungan rapat perniagaan dengan China akan mengekang kejatuhan harga lebih besar, kata David Ji, Ketua dan Perunding Penyelidik Knight Frank LLP.
“Ketidaktentuan hubungan dagangan Amerika Syarikat-Beijing dan cabaran pasaran dari Tanah Besar telah menjejaskan permintaan daripada beberapa firma China bagi ruang pejabat utama,” katanya.
Sementara itu, Melbourne dan Sydney pula menyaksikan pertumbuhan besar bagi sewa pejabat pada tahun ini dengan kos masing-masing dijangka naik 10.1 peratus dan 8.6 peratus.
Pertumbuhan pekerjaan dan jumlah kecil pembangunan yang siap sejak beberapa tahun lalu telah menyebabkan bekalan pejabat di kedua-dua bandar cukup terhad.
Manakala, Kuala Lumpur, Bengaluru, Jakarta dan Warsaw pula diunjur menawarkan kadar sewa pejabat paling murah pada tahun ini. – MalaysiaGazette