M. Saravanan

SEMENYIH – Amalan politik dinasti serta berpuak-puak dalam kalangan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah tidak ada kesudahan apabila memilih calon dalam kalangan keluarga sendiri untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Malah rakyat sendiri sudah muak apatah lagi rata-rata mereka yang memegang kuasa dalam politik, kerajaan serta parti dalam PH semuanya mempunyai hubungan kekeluargaan.

Begitu luahan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan ketika mengulas tentang calon PH, Muhammad Aiman Zainali, 30, yang juga menantu kepada Allayarham Bakhtiar Mohd Nor.

“Saya tidak faham bagaimana mereka berterusan mahu kekalkan kuasa dalam kalangan keluarga dan kroni terdekat, tengok dinasti DAP, bapa, anak-anak dan sanak saudara.

“Tengok PKR, semua keluarga juga. Tidak cukp dengan itu, ‘PM in waiting’ dan Timbalan Perdana Menteri adalah suami isteri. Anak Ahli Parlimen. Bersatu, bapa Perdana Menteri, anak Menteri Besar. Adui….

“Kalau hendak bagi contoh, banyak sangat. Sejak membangkang sehingga kini, semuanya politik keluarga, dinasti dan sendirian berhad. Sudah tidak ada langsung calon-calon berkelayakan di negara sehingga perlu memilih dalam keluarga sahaja?

“Saya juga sudah tidak ada kata-kata apabila calon PRK Semenyih juga, untuk sambung kesinambungan, diletakkan pula calon menantu. Alahai, rapuh sungguh politik PH ini.

“Anda ingat rakyat tidak nampak? Bosan sangat dan jangan terkejut untuk apabila anda dalam kalangan PH ini mendapat tentangan hebat daripada rakyat dan masyarakat setempat kelak. Cukuplah politik dinasti,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman calon BN sebentar tadi.

Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, pemilihan Aiman yang juga Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat telah melepasi saringan parti selain mendapat restu Presiden PH, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Jelas Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah, beliau rasa sudah tiba masanya budaya kroni dan dinasti ini dihentikan, sebaliknya lebih ikhlas dalam perjuangan dengan memberi peluang kepada calon lain juga bersama-sama bekerja keras.

“Ini tidak, balik-balik keluarga sendiri. Penuh sana sini, mak bapa, anak-anak, saudara, menantu dan sebagainya. Jawatan-jawatan lain juga diberikan untuk keluarga sendiri, dulu PH kata lain, sekarang semuanya sudah dihalalkan begitu sahaja.

“Tidak cukup dengan semua membanjiri parti masing-masing, sekarang calon untuk PRK anda letak dalam kalangan keluarga, malu rakyat tengok. Kata perjuangan demi rakyat untuk rakyat tapi amalan lain sekali.

“Sudah tidak ada sesiapa lagi yang anda boleh jadi calon, ramai lagi calon tempatan dan ahli parti tapi politik keluarga ini menjadi keutamaan. Jadi apa akan jadi kepada nasib rakyat kelak,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast