KUALA LUMPUR – Nampaknya impian kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu hutang negara cecah RM1 trilion akan tercapai.

Itu kata mantan Perdana Menteri yang juga mantan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan kadar pertumbuhan KDNK (GDP), hutang luar negara dan hutang kerajaan bagi tahun 2018.

Sebelum PRU-14, unjuran pertumbuhan KDNK negara di bawah kerajaan BN adalah 5.5 sehingga 6 peratus.

Kadar KDNK tahun 2017 di bawah BN ialah 5.9 peratus, kata Najib.

“Tetapi kadar pertumbuhan telah jatuh ke 4.7 peratus untuk 2018 di bawah PH – lebih rendah dari jangkaan BN dan jangkaan kerajaan PH sendiri apabila mereka mengambil Putrajaya dan semasa mereka mengumumkan Bajet 2019.

“Kerajaan BN semasa saya PM telah menurunkan defisit negara setiap tahun untuk lapan tahun berturut-turut sehingga menjadi 3 peratus pada tahun 2017.

“Untuk tahun 2018, kita rancang defisit akan turun lagi untuk tahun ke-9 sehingga 2.8 peratus,” katanya.

Menurut Najib, selepas menjawat Menteri Kewangan, Guan Eng pernah menjamin jumlah defisit kerajaan untuk tahun 2018 dijangka boleh dikekalkan pada RM40.1 bilion (berbanding unjuran BN untuk RM39.8 bilion) iaitu juga pada kadar defisit 2.8 peratus.

“Tetapi defisit kerajaan tahun 2018 akhirnya menjadi RM52.67 bilion iaitu kadar defisit 3.7 peratus walaupun mereka telah banyak jual aset negara, jarah RM26 bilion dari Petronas dan memansuhkan pelbagai bantuan rakyat untuk tahun lepas.

“Sebagai perbandingan, defisit kerajaan tahun 2017 ialah RM40.3 bilion dengan kadar 3.0 peratus.

“Akibat defisit yang jauh lebih besar itu, BNM mengumumkan hutang rasmi kerajaan telah meningkat RM54.2 bilion kepada 741.1 bilion untuk tahun 2018,” katanya dalam media sosialnya hari ini.

Hutang rasmi kerajaan pada tahun 2017 di bawah BN ialah RM686.8 bilion iaitu kenaikan RM38.4 bilion berbanding RM648.5 bilion pada tahun 2016.

BNM juga mengumumkan bahawa hutang luar negara telah naik ke RM924.9 bilion pada akhir tahun 2018 berbanding RM885.2 bilion untuk tahun 2017.

Secara rasmi, BNM telah mengesahkan hutang rasmi negara dan hutang luar negara telah naik dengan lebih cepat di bawah PH, kata Najib.

Defisit kerajaan yang menurun setiap tahun di bawah BN telah naik semula manakala kadar pertumbuhan ekonomi adalah jauh lebih rendah di bawah kerajaan PH.

“Apa terjadi dengan laungan PH bahawa mereka akan mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan menurunkan hutang negara?” soal Najib.

Menurut beliau, tiga bulan sebelum akhir tahun 2018, Guan Eng pernah janji bahawa PH akan tetap mengurangkan defisit fiskal kepada 2.8 peratus dan meneruskan agenda konsolidasi fiskal tanpa menggugat pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Akhirnya, data rasmi BNM semalam membuktikan semua jaminan Guan Eng sudah ke laut, kata Najib.

“Jika defisit terus bertambah RM53 bilion setiap tahun seperti tahun lepas maka hutang rasmi kerajaan akan tepat-tepat pada RM1 trilion menjelang 2023 iaitu PRU15.

“Maka impian PH untuk hutang RM1 trilion benar-benar akan menjadi realiti,” katanya.- MalaysiaGazette