Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR- Lawatan kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Muhamad Fuzi Harun ke Turki bagi mempelajari kaedah membanteras judi dalam talian mempunyai tujuan yang baik.

Namun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat, ia mendapat kritikan kerana bertentangan dengan peranan pihak berkuasa itu.

”Lawatan (kelulusan) itu berlaku sebelum kerajaan Pakatan Harapan memerintah.

“Tujuan ke sana bagus tetapi dikritik kerana bertentangan dengan apa yang polis lakukan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini hari ini.

Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu diminta mengulas isu lawatan kerja Muhamad Fuzi bersama pegawai kanan polis ke Turki bagi mempelajari kaedah membanteras judi dalam talian namun ditaja oleh Da Ma Cai iaitu syarikat nombor ramalan. – MalaysiaGazette