Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. foto IQBAL BASRI, 16 JANUARI 2019.

KUALA LUMPUR – Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Pas tidak menyokong Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih agak meragukan dan bercanggah dengan surat rasmi parti itu sendiri.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi menegaskan, beliau lebih percaya kepada surat rasmi Pas Selangor mengarahkan penyokongnya membantu calon BN berbanding kenyataan Perdana Menteri itu.

“Saya lebih percaya arahan bertulis Pas kepada pendokongnya supaya membantu dan menyokong calon BN berbanding kenyataan Tun Mahathir.

“Beliau mendakwa kononnya Datuk Seri Haji Hadi bertemu dengannya untuk menyatakan bahawa Pas tidak menyokong BN dalam PRK Semenyih kali ini.

“Lagipun ini bukan kali pertama Tun M buat dakwaan seperti ini. Dulupun mendakwa kepimpinan UMNO bertemu beliau untuk membincangkan mengenai pembubaran UMNO,” katanya menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

Asyraf Wajdi mengulas kenyataan Dr Mahathir hari ini yang mendedahkan bahawa Pas tidak akan membantu BN dalam PRK Semenyih berdasarkan pertemuannya dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semalam.

Dr Mahathir juga mendedahkan pengakuan itu turut dibuat secara bertulis dna ditandatangani Abdul Hadi kononnya Pas tidak akan membantu UMNO.

Bagaimanapun beberapa pemimpin Pas khususnya dari Selangor kelihatan hadir memberi sokongan kepada calon BN dalam proses penamaan calon PRK Semenyih hari ini.

Asyraf Wajdi juga mengingatkan rakyat agar tidak tertipu dengan kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang selama ini gagal menunaikan janji pilihan raya lalu.

“Rakyat tidak selamanya boleh ditipu lagi. Cukup-cukuplah sandiwara manifesfo dan pelbagai penipuan pimpinan PH.

“Terbaru pengakuan seorang demi seorang Menteri, Menteri Besar, Timbalan Menteri di bawah kabinet beliau yang akhirnya mengakui tiada sijil akademik setelah didedahkan masyarakat netizen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Abdul Hadi mengaku tidak sokong UMNO pada PRK Semenyih – Tun M

Tiada arahan henti kerjasama dengan BN di Semenyih – Pemuda Pas