muhyiddin
Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) bersama Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua kiri) mengiringi calon Pakatan Harapan PRK N24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali (dua kanan) berarak ke dewan pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih 2019 di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian, Selangor. foto IQBAL BASRI, 16 FEBRUARI 2019

KAJANG – Pakatan Harapan (PH) tidak sesekali gentar dengan calon Barisan Nasional (BN) yang dilihat lebih popular berbanding calon PH, kata kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, gabungan itu telah mengemukakan calon terbaik daripada Semenyih dan lebih muda bagi memastikan golongan itu tidak dipinggirkan dan boleh mengharapkan bantuan daripada calon mereka.

“Tidak apalah, calon dia vokal dan matang. Calon kita pun sudah akhil baligh dan berkelayakan tinggi dan saya rasa ada orang yang akan pandang rendah kepada dia.

“Dari segi perwatakan pun saya rasa dia mesra penduduk. Apapun yang pihak sana kemukakan itu hak mereka, yang penting kita sokong dan kempen untuk dia supaya rakyat yakin dengan pemilihan kita adalah yang terbaik,” katanya kepada media selepas selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang hari ini.

Tutti hadir, Timbalan Presiden PKR,, Datuk Azmin Ali; Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

PH mengetengahkan Muhammad Aiman Zainali yang juga menantu kepada Bakhtiar Mohd Nor, 57 yang meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

BN mengemukakan Zakaria Hanafi,58 seorang pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan adalah merupakan bekas Penolong Pegawai Tadbir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selain dua calon itu, PRK DUN Semenyih menyaksikan dua lagi calon antaranya calon muda dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul, 25, dan calon bebas Kuan Chee Heng atau Uncle Potato.

Proses penamaan calon PRK DUN Semenyih berlangsung di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan tempoh masa satu jam diberikan SPR bagi semua calon mengemukakan Kertas Penamaan Calon masing-masing.

PRK DUN Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Bakhtiar mengalahkan wakil rakyat dua penggal di kawasan itu, Datuk Johan Abd Aziz daripada BN dengan 23,428 undi pada PRU-14.

Hari mengundi bagi PRK Semenyih diadakan pada 2 Mac ini dengan hari pengundian awal ditetapkan pada 26 Februari ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast