Kuan Chee Heng
Calon Bebas, Kuan Chee Heng bercakap semasa sidang media pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih 2019 di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian, Selangor. foto ,MUHAMMAD ZULHARI, 16 FEBRUARI 2019

KAJANG – Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Kuan Chee Heng menasihati calon-calon yang bertanding supaya jangan leka dengan menjanjikan langit dan bintang kepada pengundi.

Katanya, calon mestilah ikhlas untuk membantu membawa pembangunan kepada rakyat di kawasan itu dan tidak sekadar memberikan janji-janji kosong.

“Tidak kira siapa kalah siapa menang nanti, tapi yang kalah janganlah menghilangkan diri.

“Apabila jadi calon janji macam-macam dunia dengan langit, lepas kalah jangan hilang diri. Kita nak telefon tak jawap, tak nampak batang hidung.

“Ini bukan berpolitik tapi menambah baik hidup rakyat, jangan sakit nanti rayu tabung itu dan tabung ini. Tak boleh tolong ibu bapa. Inikah cara hak hidup di Malaysia?” soalnya kepada pemberita di sini.

Chee Heng berkata demikian selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Taman Saujana Impian.

PRK Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan tiga lagi calon iaitu Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (BN) dan Nik Aziz Afiq Abdul (PSM).

Pada majlis sama, Chee Heng yang dikenali dengan jolokan ‘Uncle Patato’ melahirkan kegembiraan kerana secara kebetulan hari ini merupakan hari kelahirannya dengan pengamal media menyanyikan lagu ‘Happy birthday’.

Beliau yang berpakaian baju T dan berseluar jeans menasihati pengundi supaya tidak mengubah kehidupan pemimpin selepas menjadi wakil rakyat, sebaliknya memilih wakil rakyat yang boleh mengubah kehidupan mereka.

“Kita lihat jam tangan, kereta YB mesti berubah jika menang. Silap silap isteripun dia ubah. Saya harap kita ambil ikhtibar jangan ubah nasib YB tetapi ubah nasib anda.

“Carilah orang yang boleh bekerja dan bawa kesejahteraan untuk anda, Jangan pilih pemimpin yang ada penyakit kerja lima tahun sekali,” ujarnya.

Sementara itu, Chee Heng menafikan desas desus yang mengaitkan beliau ditaja oleh parti politik untuk bertanding sebagai calon bebas.

Menurutnya, dakwaan itu sengaja disebarkan individu yang lalai dan tidak bertanggungjawab untuk mencemarkan imejnya.

“Orang kolot ditaja parti politik, itu politik dia orang sengaja menimbulkan spekulasi yang mana mereka lalai dan jangan beri mereka lalai. Saya rasa ramai menyokong saya untuk membawa pembangunan di sini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast