Bangunan Tabung Haji. foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Golongan warganet ‘menyerang’ Lembaga Tabung Haji selepas ia mengumumkan jemaah yang membuat rayuan untuk mengerjakan haji dan pengiring perlu menanggung kos sebenar sebanyak RM22,900.

Ini bermakna individu-individu yang berjaya dalam rayuan tidak lagi diberi subsidi seperti sebelum ini.

Semua kategori rayuan itu termasuk rayuan mahram, lanjut usia 75 tahun ke atas, faktor kesihatan, mengiring keluarga dan lain-lain bentuk rayuan haji.

Sebaliknya, hanya pendeposit yang dipilih untuk mengerjakan haji hanya perlu membayar RM9,980, dengan subsidi sebanyak RM12,920 atau 56 peratus daripada kos asal bagi semua kategori Muassasah.

Melalui komen-komen di Facebook Official Lembaga Tabung Haji, warganet mempersoalkan mengapa pemohon yang membuat rayuan tidak dapat menikmati subsidi secara tiba-tiba.

Nurshidah Shidah berkata, peraturan baharu oleh Tabung Haji itu amat melampau.

Sementara itu, S R Yunasiah Masdar berkata, merayu bukan ambil hak orang. Perayu pun tahu, pemilihan tertakluk kepada kekosongan yang telah dikenalpasti oleh Tabung Haji.

Abd Razzif Abd Razak pula meminta Tabung Haji memberi perhatian pada isu berkenaan.

Katanya, Tabung Haji perlu membuat survei, tanya golongan bawahan, bakal-bakal haji dan jangan sesekali menganiaya orang.

Scakeyra Din turut meminta Tabung Haji agar tidak menafikan subsidi bagi individu yang membuat rayuan.

Menurutnya, jika bertahun-tahun Tabung Haji boleh memberi subsidi, mengapa tidak sekarang.

“Bertahun-tahun dapat lakukan, kenapa tidak sekarang juga… Rasanya tak salah naikkan sedikit kos, di mana subsidi dikurangkan sedikit, tapi bukanlah dengan nilai yang mendadak… Tapi bukan dengan terus menidakkan hak2 mereka yang merayu…,” ujarnya.

Seorang lagi netizen meminta Tabung Haji tidak lari daripada tujuan sebenar kewujudannya.

Hairon Abu Hassan pula berkata, mereka yang membuat rayuan kebanyakan sudah mampu tetapi jika kos itu ditambah memang menyukarkan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tarik subsidi jemaah rayuan dan pengiring, rakyat tolak dasar baharu TH