Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz (tiga kanan) Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih 2019 beramah mesra bersama penduduk setempat di Pasar Awam Semenyih, Semenyih, Selangor. foto MUHAMMAD ZULHAIRI 17 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Calon muda Parti Sosialis Malaysia (PSM) Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih, Nik Aziz Afiq Abdul dipilih kerana sifat semulajadi yang fokus dengan kebajikan rakyat.

Beliau juga tidak teruja dalam memiliki jawatan atau bertanding.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S. Arutchelvan berkata, Nik Aziz adalah calon tepat kerana pemimpin muda itu mempunyai  berlatar belakang budaya politik ‘rendah diri’.

Kata Arultchelvan kepada Malaysia Gazette, dengan memiliki pelbagai kriteria apatah lagi keluarga berpengaruh dalam parti Pas, Nik Aziz boleh sahaja menyertai DAP dan kini sudah bergelar Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN).

MGF17022019_MUGSHOT 3
Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan di Jalan Pasar Baru Semenyih, Selangor. foto MUHAMMAD ZULHAIRI 17 FEBRUARI 2019

Sebaliknya, Nik Aziz setia dengan PSM kerana prinsip serta matlamat memperjuangkan nasib rakyat tanpa memikirkan hala tuju serta impian untuk bergelar ahli politik dalam masa singkat.

“Sebenarnya PSM sendiri tidak berminat dengan mana-mana individu yang begitu ambitious mahu bertanding pilihan raya. Mereka menyertai PSM kerana ada niat sebegitu, pasang angan-angan untuk bertanding dan miliki kuasa politik.

“Kita tidak minat dan tolak awal-awal golongan seperti ini. Namun, Nik Aziz ini sangat lain walaupun muda namun pengalaman serta hala tuju beliau sangat konsisten. Beliau sangat fokus apa yang dimahukan oleh rakyat.

“Sebelum terpilih, beliau sentiasa aktif di laman-laman sosial, sentiasa sibuk dengan kerja-kerja aktivis. Tidak ada sebarang perubahan dalam tingkah lakunya. Sangat merendah diri dan mempunyai idea menarik untuk terus melakukan sesuatu yang baharu.

“Itu merupakan antara sebab utama kita ambil beliau sebagai calon.

“Dia juga amat akrab dengan penduduk setempat, memiliki kedai urut sendiri di kawasan ini. Hakikatnya, hanya seseorang yang mempunyai motivasi serta mementingkan rakyat adalah seorang ahli politik yang baik.

“Nik Aziz tidak gila kuasa, itu yang kita hendak kerana akhirnya kita berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Arutchelvan yang juga Pengarah PRK DUN Semenyih bagi PSM, berkata, Nik Aziz Afiq ialah aktivis rakyat sepenuh masa serta Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda PSM sejak tahun 2017.

MGF17022019_KEMPEN PSM PASAR AWAM SEMENYIH06
Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz (satu kanan) Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih 2019 beramah mesra bersama penduduk setempat di Pasar Awam Semenyih, Semenyih, Selangor. foto MUHAMMAD ZULHAIRI 17 FEBRUARI 2019

Malah kekalahan tiga kali di Semenyih dengan kekurangan dana serta jentera sebenarnya langsung melemahkan PSM kerana sokongan yang diberikan adalah antara ramuan untuk meneruskan perjuangan.

Nik Aziz Afiq yang merupakan calon tempatan dan menetap di Taman Tasek Semenyih sebenarnya mempunyai harapan tinggi menjadi pihak semak dan imbang kepada Kerajaan Selangor sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat bagi DUN Semenyih.

Terdahulu, Nik Aziz juga telah membuat pengisytiharan harta dihadapan orang ramai di Pekan Semenyih hari ini.

Kata Nik Aziz , tujuan pengisytiharan harta itu adalah bagi menunjukkan setiap calon yang ditampilkan PSM tidak akan sesekali bertoleransi dengan rasuah serta tidak menggunakan kedudukan untuk kepentingan diri.

“Saya juga sangat berharap sempena Malaysia baharu, langkah mengisytiharkan harta ini dapat diikuti tiga calon lain yang bertanding kerana ini amat baik untuk penduduk di Semenyih.

Ahli Jawatankuasa Pemuda Pusat PSM itu telah mengisytiharkan jumlah nilai aset miliknya sehingga 14 Februari lalu sebanyak RM15, 750. -MalaysiaGazette