Perdana Menteri, Tun Dr. mahathir Mohamad pada majlis perasmian Karnival Komuniti Berdaya sempena pelancaran Dasar Komuniti Negara di padang awam Puchong Indah dekat sini hari ini.-BERNAMA

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjanji akan membina kira-kira sejuta rumah mampu milik dengan menyasarkan pembinaan 100,000 unit setahun.

Ini bermakna sebanyak sejuta rumah jenis itu dibina dalam masa 10 tahun.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, walaupun jumlah itu bukan angka yang kecil tetapi kerajaan akan berusaha memastikan setiap rakyat kategori B40 dapat memilikinya.

“Inilah hasrat kerajaan PH, kita mahu rakyat dapat memiliki dan tinggal dalam rumah yang selesa dan ini mencerminkan kejayaan serta kemajuan negara kita.

“Tidak ada makna negara maju kalau rakyat hidup menderita, hidup dalam keadaan yang tidak selesa dan hanya sekadat dapat melihat sahaja.

“Negara sudah mencapai kemajuan, tapi rakyat tidak dapat menikmati kemajuan ini,” katanya berucap pada majlis perasmian Karnival Komuniti Berdaya sempena pelancaran Dasar Komuniti Negara di padang awam Puchong Indah dekat sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkifli Ahmad.

Menurut Mahathir, kerajaan akan mengadakan kerjasama dengan swasta untuk menjayakan hasrat pembinaan satu juta unit rumah mampu milik itu, yang disifatkan sebagai satu pelaburan jangkapanjang untuk rakyat.

Katanya, rumah mampu milik bagi kerajaan PH ialah kediaman selesa yang akan diduduki oleh rakyat, walaupun harganya rendah, tapi kemudahannya tidak terlalu kurang berbanding rumah mewah.

“Kerajaan tidak mempunyai wang mencukupi untuk membina satu juta rumah walaupun dalam masa yang panjang iaitu selama 10 tahun.

“Untuk membekalkan rumah ini, kita perlu ada kerjasama antara swasta dan kerajaan. Ini akan memberi peluang kepada swasta juga untuk mendapat nikmat tertentu bagi mereka disebabkan sumbangan mereka dalam mendirikan rumah mampu milik ini.

“Oleh itu, kita akan lihat, ada tempat yang mana kerajaan membangunkan rumah, ada tempat lain yang swasta akan membangunkan rumah,” katanya.

Beliau percaya pihak swasta prihatin terhadap keperluan itu dan mereka akan bersedia melabur serta membangunkan rumah berkenaan untuk rakyat.

“Inilah pendekatan kita, kerajaan yang baharu dipilih ini. Kita akan tunaikan janji kita walaupun kadang-kadang terhalang, tetapi usaha tetap akan dijalankan oleh kita.

“Dengan hasrat membangunkan begini banyak rumah, ia juga memberi peluang kepada pengusaha kita melabur dalam teknologi pembangunan rumah.

“Contohnya, sekarang ini sudah ada di Malaysia kilang yang akan mengeluarkan rumah yang mampu dimiliki dan mudah dipasang dengan cepatnya oleh siapa sahaja,” ujar beliau.

Kata Mahathir, rakyat B40 tidak rugi membeli rumah mampu milik walaupun dijual pada harga RM400,000 seunit kerana untuk jangkamasa panjang, kediaman itu akan naik nilai mencecah sehingga RM1 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast