S. Arutchelvan.

KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyatakan kekecewaannya ekoran program debat anjuran BERSIH  dibatalkan semata-mata calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak mahu hadir.

Menurut Pengarah Kempen PSM bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih, S. Arutchelvan, pihaknya difahamkan, BERSIH telah berusaha untuk memastikan debat itu berlangsung pada 25 Februari ini.

Bagaimanapun, katanya, keengganan dua calon dari parti BN dan BN memaksa BERSIH membatalkan debat berkenaan yang sepatutnya menyaksikan kesemua empat calon menyatakan idea masing-masing.

“Mengapa BERSIH perlu membatalkan debat itu hanya kerana calon BN dan PH enggan menyertainya sedangkan calon PSM dan calon bebas sedia berdebat.

“Tindakan pembatalan itu seakan menunjukkan parti yang besar dan berkuasa sentiasa mempengaruhi keputusan sama ada debat akan diadakan atau tidak?

“Debat ini asalanya dirancang untuk memberikan peluang kepada semua parti bertanding meluahkan idea masing-masing dan membolehkan rakyat menilai prestasi setiap calon secara dekat dan adil,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Arutchelvan, biasanya parti lebih besar mempunyai kelebihan kerana ada sumber dan dana kewangan yang mencukupi, berbanding PSM dan bebas.

“BERSIH sepatutnya memberikan peluang kepada pihak yang berani berdebat untuk meneruskannya dan mengutarakan idea mereka, bukan membatalkan debat itu, yang hanya memberi kemenangan kepada pihak yang enggan hadir.

“PRK ini bukan PH dan BN sahaja yang bertanding, pihak alternatif pun harus diberikan peluang berdebat. Mungkin ini akan memberikan satu pengajaran kepada calon BN dan PH.

“Kami dari PSM melihat sebarang platform debat adalah suatu yang penting kerana ini adalah ruang untuk pengundi Semenyih mengenali calon yang akan mewakili mereka di DUN,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast