Kerajaan Kedah akan membuat keputusan sama ada mengekalkan atau menaikkan kadar tarif air di negeri ini pada awal tahun depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Tiada keperluan untuk menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan wujudnya plot untuk menyingkirkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, melalui undi tidak percaya di Parlimen.

JERLUN – Tiada keperluan untuk menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan wujudnya plot untuk menyingkirkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata dakwaan itu merupakan salah satu rancangan mengalihkan perhatian rakyat terhadap Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih yang sedang berlangsung.

“Saya sendiri tidak percaya pada undi tidak percaya itu. Mereka ini sahaja nak alih perhatian dan seolah-olah hendak tunjuk ada pepecahan dalam Pakatan Harapan (PH) sedangkan perkara itu tidak wujud sama sekali.

“Saya ada dalam Mesyuarat Majlis Presiden, tapi tiada langsung nampak unsur macam tu. Ini politik, yang bercakap itu pembangkang, jadi macam mana hendak percaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Explorasi Antarabangsa Kubang Pasu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa dia mempunyai maklumat terdapatnya dua parti komponen PH yang mahu menyingkirkan Tun Dr Mahathir.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata tiada keperluan untuk melihat dakwaan tersebut sebaliknya ingin menumpukan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

“Tumpu selesaikan masalah rakyat, masalah air kat Kedah pun masih belum selesai. Politik dalaman ni letak jauh dahulu, fokus rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan satu peninggalan sejarah, Terusan Wan Mat Saman, sebaliknya faktor kewangan menjadi kekangan berikutan kos penyelenggaraannya terlalu tinggi.

“Nilai sejarah terusan itu tinggi, jadi kalau boleh kita mahu buat sesuatu untuk bangunkan beberapa kawasan untuk pelancongan di situ yang mampu menarik ramai pelancong. Terusan itu memang dalam perhatian kita,” katanya ketika diminta mengulas gesaan beberapa pihak yang mahu kerajaan negeri memelihara terusan yang semakin teruk dan kotor akibat tidak diselenggara.

— BERNAMA

1 Komen

  1. Exactly. Kudos

    Why should PH dance while PAS fiddle the music? Should there be a damage control when PH is in control.

Comments are closed.