Datuk Darell Leiking.
Darell Leiking

SHAH ALAM – Tindakan segelintir ahli politik di Sabah yang lantang mengkritik parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini disifatkan sebagai ‘orang lemah’ apabila sanggup menggunakan laluan belakang bagi menyertai kerajaan PH, kata Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking.

Beliau berkata, kumpulan ahli politik itu yang sebelum ini menghina dan memalukan PH dan parti Warisan akhirnya akur bahawa kerajaan yang ada sekarang menjadi pilihan utama mereka.

“Bagi saya, mereka tidak dapat tahan seperti kami (Warisan) yang teguh menjadi pembangkang (sebelum Pilihan Raya Umum ke-14).

“Sewaktu kami menjadi pembangkang dahulu, tempohnya agak lama tetapi kami bertahan walaupun banyak jemputan (daripada) mereka ketika itu supaya menyertai kerajaan,” katanya, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pada sidang media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bagi membincangkan isu berkaitan pelaburan di peringkat negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan segelintir ahli parti pembangkang di Sabah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengembangkan sayapnya ke negeri ini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Darell yang juga Anggota Parlimen Penampang berkata, tindakan Bersatu yang mengembangkan sayapnya ke Sabah telahpun dijelaskan oleh Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast