Pakatan Harapan
Calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali

GEORGE TOWN – Orang ramai tidak seharusnya menilai calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali, sebagai tidak mempunyai keyakinan tinggi terutama ketika berhadapan media hanya berdasarkan video yang tular di media sosial sahaja.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata situasi Muhammad Aiman itu adalah perkara biasa dalam kalangan anggota politik baharu, yang sebelum ini tidak pernah terdedah dengan pihak media.

“Adalah tidak wajar menilai kemampuan Muhammad Aiman menerusi cara beliau berinteraksi dengan pihak media apatah lagi sebagai anggota politik muda, calon PH itu mungkin berasa ragu-ragu untuk menjawab dengan tepat soalan yang diajukan wartawan.

“Tidak semua ahli politik boleh berhadapan dengan media, apatah lagi ahli politik yang masih baru dan kurang pengalaman seperti Muhammad Aiman, tetapi dari segi berinteraksi dengan penduduk dan menyampaikan ceramah, dia tidak ada sebarang masalah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persatuan Demi Rakyat Pulau Pinang di pangsapuri Bayu Nyaman, Bayan Lepas dekat sini.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata berdasarkan penilaian pihaknya juga mendapati tahap sokongan terhadap calon PH itu ketika ini menunjukkan semakin tinggi dan lebih 60 peratus berbanding ketika permulaan kempen.

“Ketika ini keadaannya adalah 60:40 dengan calon PH mendahului berdasarkan maklum balas pengundi, yang diperoleh jentera kami yang membuat panggilan telefon. Namun, kita tidak boleh ambil mudah kerana angka itu boleh berubah atas faktor pengundi yang tidak turun mengundi, jadi jentera perlu terus laksanakan gerak kerja dengan komitmen 100 peratus,” katanya.

Sementara itu, beliau menyangkal dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kononnya parti itu tidak turun padang membantu calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRK DUN Semenyih.

Katanya beliau sendiri hampir setiap hari berada di Semenyih bagi menguruskan gerak kerja jentera PH sepanjang PRK itu khususnya melibatkan sayap wanita semua parti komponen PH.

“Saya rasa itu adalah dakwaan yang meleset (PKR dan DAP tidak bantu), dan sayapun tidak pasti sama ada Abdul Hadi ada turun ke sana atau tidak, tetapi jentera PKR dan DAP setiap hari ada di sana cuma kami tidak ada bilik gerakan untuk parti sendiri sebab semuanya berpusat di bilik gerakan dan lambang PH yang menunjukkan kesatuan kita”.

Zuraida berkata demikian mengulas kenyataan Abdul Hadi semalam yang mengingatkan PH supaya tidak menyalahkan Pas sekiranya calon Bersatu kalah pada PRK DUN Semenyih selepas mendakwa PKR dan DAP tidak turun membantu.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman, 30, dengan calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi, 58; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul, 25, dan calon Bebas, Kuan Chee Heng, 56, atau ‘Uncle Kentang’.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast