Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng dipersoal mengapa mahu ‘lari’ apabila secara terang-terangan memberitahu rombongan Polis Diraja Malaysia ditaja oleh Da Ma Cai, sebuah syarikat judi.

Presiden MCA yang merujuk laporan portal Malaysiakini berkata, Menteri Kewangan itu ada menyebut bahawa rombongan itu tidak ditaja oleh Kementerian Kewangan tetapi Lembaga Totalisator yang berada di bawah kementerian tersebut.

“Secara kebetulan, kedua-dua ucapan Guan Eng telah dirakam dan disiarkan oleh portal berita KiniTV. Ke mana lagi mahu lari? Nak menyorok di dalam Gua mana lagi?

“Takkanlah nak sebut siapa penaja rombongan PDRM ke Turki pun susah sangat, putar belit lagi itu, adoi!

“Patutlah tak dapat bezakan “provisional” dengan “professional”, katanya.

Semalam, Guan Eng dalam sidang akhbarnya menafikan lawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Hassan bersama beberapa pegawai kanan yang lain ditaja secara langsung oleh syarikat judi.

Jelasnya, lawatan ke Turki itu ditaja oleh Lembaga Totalisator Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan.

“Wartawan tanya siapa yang taja, saya jawab Lembaga Totalisator Malaysia.

“Kemudian awak tanya lagi, kenapa Kementerian Kewangan tidak tahu, saya jawab Lembaga Totalisator Malaysia mempunyai akta sendiri di mana ahli-ahli lembaga pengarah boleh meluluskan sesuatu cadangan tanpa merujuk kepada Kementerian Kewangan terlebih dahulu.

Artikel berkaitan: KPN ditaja ke Turki: Sumber dana Totalisator dari syarikat nombor ramalan

Lembaga Totalisator Malaysia lulus 3 lawatan kerja PDRM sebelum ini

Penajaan KPN ke Turki diluluskan sejak 2017 lagi

“Awak tanya lagi, dari mana mereka dapat dana, saya jawab Lembaga Totalisator Malaysia mendapat dana daripada syarikat judi berkenaan,” kata Guan Eng semasa sidang media itu.

Lembaga Totalisator Malaysia ditubuhkan pada 14 Mac 1999 apabila kerajaan membuat keputusan untuk tidak mahu mempunyai hubungan secara langsung dengan operasi perjudian dengan menswastakannya kepada Pan Malaysian Pools Sdn. Bhd. (Da Ma Cai). -MalaysiaGazette

Guan Eng nafi lawatan KPN ditaja Da Ma Cai