Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Novasi untuk Transit Aliran Ringan (LRT) 3 di Menara UOA Bangsar, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR- Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menafikan lawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Hassan bersama beberapa pegawai kanan yang lain ditaja secara langsung oleh syarikat judi.

Jelasnya, lawatan ke Turki itu ditaja oleh Lembaga Totalisator Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan.

“Wartawan tanya siapa yang taja, saya jawab Lembaga Totalisator Malaysia.

“Kemudian awak tanya lagi, kenapa Kementerian Kewangan tidak tahu, saya jawab Lembaga Totalisator Malaysia mempunyai akta sendiri di mana ahli-ahli lembaga pengarah boleh meluluskan sesuatu cadangan tanpa merujuk kepada Kementerian Kewangan terlebih dahulu.

“Awak tanya lagi, dari mana mereka dapat dana, saya jawab Lembaga Totalisator Malaysia mendapat dana daripada syarikat judi berkenaan,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Lembaga Totalisator Malaysia ditubuhkan pada 14 Mac 1999 apabila kerajaan membuat keputusan untuk tidak mahu mempunyai hubungan secara langsung dengan operasi perjudian dengan menswastakannya kepada Pan Malaysian Pools Sdn. Bhd. (Da Ma Cai).

Ia tidak menerima sebarang peruntukan kewangan daripada kerajaan untuk operasinya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

KPN ditaja ke Turki: Sumber dana Totalisator dari syarikat nombor ramalan

Penajaan KPN ke Turki diluluskan sejak 2017 lagi

Kunjungan KPN ke Turki kerana tugas – Muhyiddin