DHAKA – Sebuah pesawat Biman Bangladesh Airlines yang dalam penerbangan dari Dhaka ke Dubai dilaporkan berhadapan dengan cubaan rampasan.

Pesawat Boeing, B737 melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat di Chittagong pada pukul 5.40 petang waktu tempatan, menurut laporan media.

Seorang lelaki bersenjata didakwa cuba mengambil kawalan kokpit menyebabkan pendaratan cemas dilakukan, lapor media tempatan seperti dipetik gulf business new.

Semua penumpang telah dikeluarkan daripada pesawat.

Laporan media mendakwa suspek masih berada dalam pesawat dengan dua anak kapal manakala polis dan Batalion Tindakan Pantas telah tiba di lapangan terbang yang telah ditutup itu.

Seorang kakitangan syarikat penerbangan itu mengesahkan kepada laman sesawang, bdnews24.com, bahawa pesawat tersebut telah dirampas namun tidak memberi maklumat terperinci. – Agensi