Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada sidang media di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 27 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – “Isteri saya turut dijemput oleh menteri kerajaan China, adi apa masalah dengan MCA?”

Itu jawapan balas Anthony Loke kepada MCA yang mempersoalkan mengapa isteri menteri pengangkutan itu turut menyertai delegasi Malaysia ke China Januari lalu.

“Menteri (kerajaan) China jemput dia (isteri saya) duduk di sana (mesyuarat) adakah ia jadi masalah untuk MCA.

“Kalau menteri China itu membenarkan dia (isteri) duduk di sana apa masalah MCA?” katanya ringkas.

Beliau sebelum itu ditanya mengenai kenyataan Ketua Biro Komunikasi Antarabangsa dan Diplomasi MCA, Tee Ching Seng yang mempersoalkan  adakah perlu Anthony membawa isterinya bagi melaksanakan misi negara.

Gambar isteri  Anthony telah dirakam dalam mesyuarat bersama Menteri Pengangkutan China, Li Xiaopeng.

Sementara itu, Pegawai Khas Anthony, Chung Yi Fan dalam satu kenyataan memberitahu,  lawatan itu sebenarnya merupakan lawatan kerja tujuh hari mensasarkan pengukuhan hubungan dua hala dan kerjasama antara Malaysia dan China dalam sektor pengangkutan.

“Hari ini MCA melemparkan tuduhan tidak berasas mengenai penyertaan isteri menteri pengangkutan Malaysia Anthony Loke dalam delegasi ke China.

“Saya ingin menjelaskan bahawa sebenarnya penyertaan isteri Anthony berdasarkan norma diplomatik dan pekeliling kerajaan,” katanya.

Beliau memetik Keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei 2001 iaitu “Arahan Setiausaha Jemaah Menteri Bil. 1 Tahun 2018 yang menyebut:

“Menteri dan Timbalan Menteri yang bertugas rasmi di luar negara selain daripada negara negara ASEAN bagi tempoh melebihi tujuh hari boleh diiringi isteri/suami, tertakluk kepada persetujuan Jemaah Menteri.”

Mengulas lanjut, Yi Fan berkata, kehadiran isteri Loke semasa pertemuan bersama Li Xiaopeng pada 27 Januari lalu adalah atas kapasiti rasmi dan tidak seharusnya dipersoalkan kerana beliau sendiri telah dijemput oleh kerajaan China.

“Apa yang dilakukan MCA dalam soal ini adalah sekadar mencari publisiti murahan,” tegas Yi Fan.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: