KUALA LUMPUR – Sejarah demi sejarah, anugerah demi anugerah terus dibolot dengan berpuluh pengiktirafan diberikan kepada filem Tamil tempatan, Vedigundu Pasangge sejak kebelakangan ini.

Vedigundu Pasangge, arahan Dr Vimala Perumal ternyata bukan hanya gah di pasaran tempatan tetapi turut mencatat sejarah dengan mengukir kejayaan di persada antarabangsa.

Terbaru, filem Tamil tempatan pertama keluaran Veedu Production yang memecah kutipan melebihi RM1 juta itu menggegarkan acara Festival Filem Tamil Norway (NTFF) di Oslo, Isnin lalu apabila menggondol anugerah bagi dua kategori utama.

Kejayaan ini menjadikan Vedigundu Pasange sukar ditandingi dan mencipta aras yang agak mustahil untuk dipecahkan, sekali gus memungkinkan mereka berdiri sama tinggi dengan filem arus perdana lain di Malaysia.

Kehebatan Vimala sebagai pengarah juga dilihat semakin diakui ramai dan dengan kemenangan silih berganti di dalam serta luar negara, tidak mustahil penonton akan tertunggu-tunggu karya terbaru beliau untuk terus menghiburkan mereka dengan pelbagai genre filem.

Diangkat sebagai pemenang bagi kategori Filem Terbaik NTFF, ini kali kedua Vedigundu Pasange mendominasi kategori Filem Terbaik selepas berbuat demikian pada Anugerah CINEFEST 2019 di Kuala Lumpur awal bulan ini.

Filem ketiga dalam trilogi Pasangge itu turut meraih anugerah bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik hasil lakonan hebat Sangeetha Krishnasamy, yang juga Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke 29.

DenesVimala

Vimala yang juga isteri kepada pelakon utama trilogi ini, Denes Kumar ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, kemenangan Vedigundu Pasange dalam dua kategori utama itu adalah sesuatu di luar jangkaan kerana ia menerima saingan sengit filem-filem lain yang turut dipertandingkan.

“Ini adalah festival filem yang diadakan di luar negara dan menerima penyertaan filem Tamil dari segenap pelosok dunia. Saya tidak pernah terfikir filem ini mampu menewaskan filem lain dan muncul sebagai filem terbaik.

“Sudah tentu kejayaan ini amat bermakna dan ia bukan hak persendirian, sebaliknya milik seluruh ahli pasukan Vedigundu Pasange yang mencurahkan sepenuh tenaga untuk pembikinan filem ini,” katanya.

Vedigundu Pasangge

Menurut beliau, pencapaian cemerlang Vedigundu Pasange tidak bererti ia adalah satu kelegaan tetapi sebenarnya satu cabaran hebat untuk menghasilkan karya yang lebih berkualiti selepas ini.

“Bila kita ada satu karya yang dilihat orang ramai sebagai hebat, ia adalah satu cabaran dan tekanan sebenarnya. Cabaran untuk memastikan akan ada satu sinambungan yang lebih berjaya dan tekanan kerana saya perlu memerah otak untuk memastikan dapat menghasilkan karya berkualiti.

“Saya tidak lagi boleh bekerja sambil lewa dan perlu lebih berhati-hati bagi memastikan penghasilan selepas ini lebih bermutu tinggi,” ujarnya.

Sangeeta

Dalam pada itu, Denes yang juga dinobat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah CINEFEST 2019 baru-baru ini untuk filem itu melahirkan rasa bangga dengan pengiktirafan antarabangsa NTFF dari Norway ini.

“Bangga, itu adalah perkataan pertama yang saya boleh fikirkan. Kita sudah mampu berdiri sama tinggi, bukan riak tetapi sekadar peringatan yang kita sebenarnya juga boleh berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Ini juga merupakan satu dorongan untuk melakukan yang jauh lebih baik bukan sahaja pasukan kami, sebaliknya keseluruhan industri Tamil tempatan selepas ini. Ini sudah semestinya kejayaan kita semua,” ujarnya. –MalaysiaGazette

DenesVimala2

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/11/vedigundu-pasangge-ungguli-sebahagian-anugerah-cinefest-2019/