KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) mengumumkan keputusan status kedudukan Liga Premier 2019 yang melibatkan pertemuan menentang pasukan Perlis sepanjang tiga perlawanan awal musim ini apabila tidak akan diberikan sebarang mata.

MFL dalam satu kenyataan berkata, badan pentadbir Liga Malaysia itu konsisten dalam membuat keputusan selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL pada tahun lalu turut membatalkan kesemua perlawanan Liga Premier membabitkan Kuantan FA selepas kelab itu dibatalkan penyertaan.

“Semua jaringan gol, jumlah mata dan jumlah perlawanan yang telah berlangsung membabitkan pasukan Perlis akan dikira kosong.

“Bagaimanapun, bagi kesalahan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP), perkara tatatertib termasuk pengumpulan kad kuning dan perintah keluar padang atau kad merah adalah dikekalkan dan berkuatkuasa seperti biasa,” kata kenyataan itu.

MFL memberitahu, selepas ini Perlis akan dikeluarkan dari senarai jadual perlawanan serta kedudukan liga.

Ini bermakna hanya 11 pasukan sahaja yang akan bertanding sehingga penghujung musim 2019

Pada masa sama, MFL hari ini telah mengekalkan hukuman menyingkirkan Perlis selepas mendapati skuad Singa Utara itu berdepan masalah tunggakan gaji pemain serta Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing musim ini.

Sebelum itu, PFA telah mengemukakan dokumen sokongan kewangan bagi proses rayuan selama tujuh hari sejak keputusan pembatalan penyertaan Perlis dalam Liga Premier pada 20 Februari lalu. – MalaysiaGazette