Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim membayangkan beliau mungkin meninggalkan kelab itu pada masa akan datang.

Menerusi laman Instagramnya miliknya, Tunku Ismail yang mengambil alih kelab Harimau Selatan pada tahun 2013 itu seperti kecewa selepas JDT telah mencipta pelbagai kejayaan yang luar biasa dengan memenangi 16 piala melibatkan empat piala belia, 12 piala bersama pasukan itu termasuk Piala AFC.

Namun menurutnya, ramai yang lupa siapa yang membangunkan kelab itu dan memilih pemain.

Justeru jelas beliau, tahun ini mungkin merupakan tahun terakhir bersama JDT dan mengucapkan selamat tinggal kepada para penyokong.

“Tak ramai yang sedar. Semua sibuk cakap pasal (Mario) Gomez, Safiq Rahim, (Jorge Pereyra) Diaz, Aaron (Niguez). Tapi mereka lupa siapa lahirkan kelab ini dan siapa yang rekrut mereka semua ini.

“Pemain dan jurulatih keluar masuk namun tetap menang 16 piala, termasuk empat piala belia, 12 piala pasukan senior. Tiba masa­nya mereka akan sedar.

“Sama macam Real Madrid, semua ingat CR7 (Cristiano Ronal­do). Tapi semua tak hargai Florentino Pe­rez. Kalau tiada dia, tiada Galacticos, tiada semua pemain yang dia rekrut dan tiada semua piala yang dimenangi akhir akhir ini.

“Secara jujur ini mungkin tahun terakhir saya, cukuplah setakat ini, terima kasih,” tulisnya di Instagram hrhcrownprinceofjohor.

Bagaimanapun status tersebut tidak kelihatan dan sudah dipadam selepas beberapa jam ia dimuat naik.

Selain itu, laman facebook rasmi JOHOR Southern Tigers tampil memberikan sokongan dengan mengeluarkan kenyataan mengenai pengorbanan yang telah dilakukan oleh TMJ da­ri segi masa, tenaga dan wang ringgit.

JDT hari ini dikenali sebagai sebuah kelab bola sepak yang hebat di Malaysia dan merupakan satu-satunya wakil negara yang bertanding dalam saingan kelab kelas tertinggi di Asia, AFC Champions League (ACL).

Mereka akan bertemu kelab gergasi Jepun, Kashima Antlers pada perlawanan pertama ACL pada hari selasa ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast