Ariffin Zakaria.

PUTRAJAYA –  Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria akan mengetuai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi isu pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian. 

Suruhanjaya itu, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri  Muhyiddin Yassin bakal dianggotai  lapan orang termasuk Ariffin selain pembantunya bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai. 

Jelas Muhyiddin, kesemua anggota suruhanjaya tersebut akan diberikan taklimat sebelum memulakan tugas mereka pada minggu depan.

“Minggu depan saya akan berjumpa dengan seluruh anggota RCI ini di kementerian untuk menyerahkan surat lantikan, memberikan taklimat tentang latar belakang Wang Kelian punya isu dan daripada situ mereka boleh memulakan kerja mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.

MGF28022019_MESYUARAT PENGURUSAN PEKERJA ASING_07
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) bercakap kepada media sambil diiringi Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran (kanan) selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-2 di Hotel Le Meridien, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2019

Tambah Muhyiddin, laporan RCI itu akan diserahkan kepadanya selepas enam bulan.

“Selepas enam bulan siap laporan nanti akan dibawa kepada kementerian dan kita akan meneliti apakah hasil daripada RCI itu,” ujarnya. 

Muhyiddin sebelum ini berkata,  pelantikan kesemua anggota RCI tersebut sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada Mei 2015, sebanyak 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand ditemui.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast