Calon Pakatan Harapan PRK N24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali bergambar bersama nombor saluran mengundi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Semenenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 02 MAC 2019

SEMENYIH –  Calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali didapati masih merayu undi di Pusat Daerah Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain Kampung Baru.

Itu senario yang berlaku ketika Aiman bercakap kepada lebih 30 pemberita di dalam pusat mengundi selepas selesai melaksanakan tanggungjawabnya sekitar 8.18 pagi tadi.

“Alhamdulillah saya selesai mengundi dan menyantuni sebahagian daripada pengundi pagi ini dan kita lihat kelancaran proses undi amat baik dan berterima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana menjalankan tugas dengan baik.

“Dan Insyallah pengundi dapat membuat pemilihan yang bijak untuk menentukan nasib Semenyih dan memberi kebaikan kepada rakyat semenyih.

“Saya berharap mereka semua mengundi Pakatan Harapan…mengundilah Aiman Zainali,” katanya kepada wartawan di sini.

Ditanya tahap keyakinannya untuk menang hari ini Aiman berkata, setakat pemantauannya pagi tadi sambutan pengundi baik.

Tidak pasti sama ada Muhammad Aiman sedar atau tidak tentang peraturan SPR yang tidak membenarkan sebarang bentuk kenyataan berbaur merayu undi pada hari mengundi selepas tempoh kempen tamat pukul 12 tengah malam tadi.

Kenyataan itu juga mencetuskan tanda tanya dalam kalangan wartawan yang bertugas di lokasi.

Apakah Aiman tidak diberi taklimat oleh pemimpin atau pegawai dari PH yang mengikutinya kerana apa yang terkeluar dari mulut Aiman sebenarnya telah menyalahi Akta SPR 1954.

Apakah Aiman sendiri sebagai calon tidak menyedari apa yang dikatakannya kepada media iaitu mengharapkan pengundi undi PH dan undi Aiman Zainali merupakan satu perlanggaran peraturan mengikut Seksyen 26 (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Seksyen itu menyebut dengan jelas ‘no person campaign on polling day’.

Pengiring daripada Armada PPBM hanya mendekati Aiman selepas dia selesai bercakap kepada pemberita hari ini sebelum beredar sekitar 8.57 pagi tadi.

Cuaca pagi ini di Semenyih baik tetapi agak panas menyebabkan kebanyakan pengundi keluar mengundi awal sejak 8 pagi lagi.

Seramai 2,326 pengundi berdaftar di SMK Engku Husain dijangka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi hari ini untuk memilih wakil DUN mereka.

PRK Semenyih diadakan sebagai mengisi kekosongan kerusi itu selepas penyandangnya Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

Menantunya Aiman diangkat sebagai calon PH yang berdepan persaingan empat penjuru dari calon BN Zakaria Hanafi, calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul dan calon bebas yang dikenali sebagai Pakcik Kentang.-MalaysiaGazette