NEW YORK – Keluarga Otto Warmbier, penuntut Amerika Syarikat yang meninggal dunia selepas dipenjarakan selama 17 bulan di Korea Utara tetap mempertahankan regim Kim Jong-un telah menyebabkan kematian anaknya.
Kenyataan itu dibuat oleh ibu bapa Otto selepas Presiden Donald Trump percaya Jong-un mendakwa tidak tahu bagaimana mangsa telah dilayan ketika ditahan.
“Jong-un dan regimnya bertanggungjawab terhadap kematian anak kami, Otto,” kata Fred dan Cindy Warmbier dalam satu kenyataan.
Tambah pasangan itu, Kim dan regim jahat bertanggungjawab di atas keganasan dan sikap tidak perikemanusian yang tidak boleh digambarkan.
“Tiada alasan atau pujian yang boleh mengubahnya,” kata ibu bapa Otto.
Sejurus selepas kenyataan tajam itu, White House cuba menjelaskan maksud Trump.
“Saya tidak suka disalahtafsirkan, terutamanya daripada keluarga Otto Warmbier … Sudah tentu Korea Utara bertanggungjawab atas penyeksaan dan kematian Otto.”
Sebelum itu, Trump memuji kepimpinan Jong-un selepas pemimpin Korea Utara itu menegaskan beliau tidak menyedari keadaan Otto ketika dalam tahanan.
“Dia memberitahu saya bahawa dia tidak tahu mengenainya dan saya akan memegang kata-katanya,” kata Trump pada sidang akhbar. – MalaysiaGazette