Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. foto FAREEZ FADZIL.

KUALA LUMPUR –  Seandainya Pas mendedahkan sahaja penyelesaian luar mahkamah antara Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Clare Rewcastle-Brown sudah tentu tidak wujud ‘drama’ sehingga pendedahan pembayaran wang sebnayak RM1.4 juta.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata,  semakin hari semakin terbongkar setiap pembohongan yang dilakukan oleh parti tersebut.

“Mula tipu sekali, kemudian tipu kali kedua kerana perlu tutup tipu yang pertama dan seterusnya. Itu yang terjadi kini dalam isu berhubung antara Pas dan Editor Sarawak Report.

“Mengapa dari awal lagi tidak didedahkan sahaja tentang apakah jenis penyelesaian antara Hadi Awang dan Clare Brown di luar mahkamah itu? Mengapa tidak di nyatakan sahaja berapakah jumlah bayaran diberikan, tidak semestinya wang itu adalah poket Presiden Pas sebaliknya dari pihak lain.

“Kita cuma tahu kebenaran, itu sahaja. Tengok kesan daripada pembohongan itu sekarang?

“Macam-macam cerita, ada juga dakwaan kononnya nombor akuan itu palsu tapi Clare sendiri mengatakan sudah menerima wang tersebut dan peguamnya juga mengesahkan perkara tersebut.

“Rafizi Ramli yang merupakan akauntan bertauliah juga telah mengesahkan sebenarnya nombor akuan bank itu wujud, jadi mengapa Pas masih lagi berterusan mengatakan akuan itu tidak wujud?

“Rakyat kini boleh menilai, dalam Islam nilai asasnya kita tidak boleh berbohong. Jadi mengapa begini? Biar rakyat lihat dan nilai sahaja siapakah sebenarnya yang berkata benar,” katanya.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengulas transaksi wang membabitkan Pas semakin hangat dan masih menjadi tanda tanya tentang wang RM1.4 juta diterima oleh Clare daripada Abdul Hadi  sebanyak penyelesaian kes.

Bagaimanapun, sehingga kini Pas berpendirian tidak pernah memberikan wang tersebut dan meminta bukti transaksi dikemukakan.

Pas turut mendakwa nombor akuan itu palsu serta tidak wujud.

Sarawak Report kemudian memuat naik beberapa gambar salinan dokumen berkaitan termasuk sekeping cek Bank Islam bernilai RM1.4 juta itu sebagai membuktikan transaksi pembayaran dibuat oleh Abdul Hadi sebagai penyelesaian kes saman fitnah itu.

Sehari sebelum itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Pas membayar sebanyak RM1.4 juta kepada Clare dan mendakwa mempunyai bukti berupa dokumen transaksi bank melibatkan pembayaran berkenaan.

Kesahihan nombor akaun bank yang tertera pada cek tersebut bagaimanapun dipertikai oleh Pas dan susulan itu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengambil langkah menyiasat lebih lanjut sebelum mendapati akaun terbabit benar-benar wujud di bawah pemilik bernama ‘Rameli Musa’ yang dikatakan sahabat baik Anwar Ibrahim. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/27/saya-ada-penyata-akaun-bank-pas-bayar-clare-anwar/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/01/akaun-yang-didedahkan-clare-tidak-wujud-nasruddin/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/01/isu-cek-clare-taktik-serampang-dua-mata-anwar/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/01/isu-cek-rm1-4-juta-timbulkan-pelbagai-teori-konspirasi/