Takiyuddin Hassan

KOTA BHARU – Pas akan meneliti dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung parti itu membayar RM1.4 juta kepada Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown sebelum sebarang tindakan diambil.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas yang tetap dengan pendiriannya menegaskan sekali lagi bahawa parti itu dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak membuat pembayaran kepada mana-mana pihak terutama Clare, termasuk mengadakan perbincangan.

Soal tindakan, katanya, Pas perlu melihat keadaan kes berkenaan terlebih dahulu, dan selebihnya wartawan perlu tanya sendiri Anwar mengenai kenapa dan apa motif isu berkenaan dibangkitkan memandangkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu tiada kepentingan dalam kes terbabit, lapor BH Online.

“Siapa yang bayar sebenarnya? Saya tanya siapa? bukan PAS dan Hadi yang bayar… ’full stop’ (tamat). Kita tidak perlu sangkal apa-apa lagi selagi tiada bukti menyatakan kita bayar. Namun sekarang sudah terbukti bukan PAS dan Hadi yang bayar, jadi buat apa lagi perlu disangkal.

“Kes (siasatan PAS terima dana RM90 juta) sudah diselesaikan di luar mahkamah tanpa sebarang kos bagi kedua-dua pihak. Jadi kita memang mengesahkan PAS dan Presiden yang menjadi plaintif bagi kes ini memang tiada bayaran dibuat kepada mana-mana pihak berdasarkan perintah mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas hadir Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Tionghua, di sini, malam tadi.

Kelmarin, Anwar mendakwa memiliki dokumen transaksi bank yang membuktikan PAS membayar RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown, namun beliau masih belum mendedahkan dokumen berkenaan.

Ditanya mengenai pendedahan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai pemilik akaun yang membuat pembayaran itu dalam entri Facebooknya, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen, berkata siapa yang tidak mengenali individu terbabit yang juga seorang tokoh korporat.

“Semua orang kenal Datuk Rameli Musa (individu yang didedahkan Rafizi) iaitu seorang tokoh korporat yang baru dilantik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ada kaitan dengan Hadi atau tidak, awak (wartawan) kena tanya sendiri sebab saya tidak tahu apa-apa,” katanya.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, beliau secara sukarela ke SPRM kelmarin untuk memberi keterangan selepas namanya turut tersenarai antara pemimpin PAS yang akan dipanggil pihak berkuasa berkenaan.

“Peringkat pertama kita sudah menyerahkan penyata bank milik PAS daripada 2015 hingga Disember 2018 dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sudah mengesahkan akaun PAS tidak menunjukkan tanda bukan saja RM90 juta, malah wang jutaan pun tiada.

“Beberapa pemimpin PAS disenaraikan SPRM, antaranya saya memandangkan dalam pembelaan Clare, beliau kata duit RM90 juta dibahagikan dalam kalangan pemimpin PAS sehingga ada beli rumah dan kereta termasuk milik saya. Jadi saya ke SPRM untuk memberitahu saya membeli kereta guna duit sendiri dan tidak pernah terima duit daripada mana-mana pihak.

“Siapa boleh buktikan PAS ambil RM90 juta? Kalau awak (pihak tertentu) kata PAS ambil RM90 juta, di mana duit itu? Awak carilah… kalau tidak dapat cari, jadi awak kena terima hakikat tidak wujud jumlah yang disebutkan itu,” katanya. – MalaysiaGazette