KUALA LUMPUR – Berkat kerja keras penyatuan dan dokongan rakyat, akhirnya Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali kerusi DUN Semenyih yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengulas kemenangan itu berkata, ia adalah hasil dari suara rakyat yang bersama BN, UMNO dan Pas menolak corak pentadbiran kerajaan PH hari ini.
“Tahniah BN, UMNO, Pas dan rakyat Semenyih,” katanya.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah pula melihat kemenangan BN malam tadi membuktikan kerjasama UMNO, Pas, MCA, MIC dan parti komponen BN lain adalah gabungan terbaik untuk rakyat Malaysia.
Semua parti, jelas beliau, berperanan dan menyumbang kepada kemenangan yang bermakna ini.
Tambahnya, keupayaan BN merampas semula DUN Semenyih juga menunjukkan rakyat menolak kerajaan PH khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Ini adalah suatu referendum rakyat kepada kerajaan PH. Rakyat menunjukkan sikap tidak puas hati mereka terhadap banyak perkara kepada kerajaan.
“Saya merakam ucapan terima kasih kepada semua pengundi yang memilih BN dan tahniah kepada jentera parti di pelbagai peringkat yang bersama mencipta kemenangan ini,” katanya.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, apa yang dirai itu bukan hanya kemenangan BN, malah kemenangan rakyat yang sudah muak dengan penipuan kerajaan PH.
Kemenangan ini, ujar beliau, sudah pasti akan menjadi motivasi dan pembakar semangat bagi sayap parti untuk berhadapan dengan lawan di DUN Rantau nanti.
“Tahniah dan selamat berkhidmat Zakaria Hanafi ADUN Semenyih yang baharu. Tahniah pengundi Semenyih. Tahniah dan terima kasih semua yang terlibat termasuk rakan kita dari Pas,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari pula berkata, kerjasama erat dengan jentera Pas di Pusat Daftar Mengundi (PDM) Tasik Kesuma berjaya menawan hati pengundi dengan kemenangan Zakaria.
“Buat masa ini episod kempen yang getir ini akan kami dari UMNO/BN Bahagian Shah Alam jadikan rujukan untuk kempen PRK seterusnya di Rantau.
“Benarlah kata pepatah terbaharu yang dijadikan gurauan sejak dua tiga hari ini. Bila biru (BN) dan hijau (Pas) bersatu, Bersatu (PPBM) pun jadi haru biru.
“Apa pun saya berharap tiada tisu hati sesiapa yang terkoyak kerana kalah pilihanraya. Cuba lagi pada masa depan,” katanya.
Beliau berharap kerjasama dengan Pas berterusan walaupun bermacam fitnah dilemparkan kepada BN dan parti itu oleh pemimpin PH. – MalaysiaGazette