Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas percaya serangan bertali arus pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dihadapkan kepada parti itu sebenarnya cubaan untuk menutup pekung isu projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang ahli korporat dan membekukan empat akaun syarikat serta menyita beberapa aset dipercayai berkaitan projek itu.

Katanya, adakah skandal itu turut membabitkan pemimpin DAP khususnya bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng?

“Pas menuntut kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP menyediakan satu butiran lengkap pelan asal projek terowong dasar laut tersebut.

“Berapakah jumlah sebenar kos projek, adakah ia ditender secara terbuka dan sekiranya ia adalah tender terbuka, sila dedahkan perincian tender tersebut.

“Apa sebenarnya terma yang dipersetujui antara pemaju dan Guan Eng, termasuk perjanjian pertukaran lot tanah di lokasi strategik Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Nasrudin turut meminta kerajaan Pulau Pinang mengemukakan latar belakang pemaju dan semua rakan kongsi yang terlibat dan adakah mereka pihak berpengalaman serta berkemampuan melaksanakan projek dengan skala itu?

Katanya, kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) projek tersebut yang telah menelan belanja sebanyak RM305 juta belum dimuktamadkan sehingga Januari lalu.

Kini, ujarnya, rakyat berhak mendapatkan penjelasan sebenar projek itu setelah lebih setahun siasatan SPRM berjalan.

Justeru, menurut Nasrudin, projek itu turut melibatkan kepentingan rakyat disebabkan terdapat dakwaan yang menyatakan kaedah pembayarannya membabitkan pertukaran tanah (land swap) dan menjejaskan ekosistem persekitaran.

“Rakyat tidak boleh dinafikan hak untuk mengetahui status atau hasil siasatan skandal projek terowong dasar laut yang sedang berlaku sekarang.

“Beberapa tahun lalu, saya telah membangkitkan isu ini dan saya telah disaman oleh Guan Eng yang memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang pada masa itu.

“Kini, apa yang telah saya bangkit sejak awal dulu semakin menampakkan kebenarannya. Bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast