Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pelancaran dan Sesi Dialog Digital Native Agenda (DNA23) di Studio 1, All Asia Broadcast Centre, Technology Park Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 04 MAC 2019

KUALA LUMPUR- Gesaan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali supaya kerajaan pusat tidak lagi apologetik dalam melaksanakan agenda Melayu dan bumiputera adalah pandangan peribadi bukan mewakili PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, partinya komited untuk membantu semua rakyat miskin tanpa mengkhususkan kepada satu-satu kaum sahaja.

“Itu pandangan peribadi beliau (Azmin) bukan suara parti.

“PKR tidak pernah mengenepikan orang Melayu atau bumiputera tetapi kami memberi pendekatan untuk membantu semua rakyat terutamanya yang miskin dan kurang berkemampuan yang mana kebanyakannya adalah Melayu,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Digital Native Agenda 23 (DNA23) di sini hari ini.

Susulan kekalahan PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Sabtu lalu, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR membuat gesaan supaya kerajaan pusat tidak teragak-agak untuk melaksanakan janji yang melibatkan agenda Melayu dan bumiputera.

Jelasnya, kekalahan PH dalam PRK tersebut merupakan mesej jelas rakyat akar umbi agar kerajaan segera bertindak menyelesaikan masalah dan kebajikan rakyat tanpa perlu menyalahkan mana-mana pihak.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai cadangan UMNO dan Pas untuk menggunakan satu logo pada PRU-15, Anwar berkata, ia tidak akan memberi sebarang kesan kepada PH.

Katanya, kedua-dua parti berkenaan nampak gaya begitu teruja dengan kemenangan yang diperoleh di dua pilihan raya kecil di Cameron Highland dan Semenyih.

“Kami tidak kisah dengan inisiatif tersebut tetapi nampak gayanya mereka begitu teruja dengan kerjasama tersebut yang membolehkan pembangkang menang di dua pilihanraya kecil sehingga mereka lupa yang mereka telah kalah di lebih banyak kerusi termasuk di Port Dickson.

“Tidak seperti mereka, kami tidak akan terbuai-buai dengan kejayaan.

“Kami ambil maklum mengenai usaha-usaha yang perlu dilakukan PH termasuk memberi penerangan dan berhubung dengan lebih ramai orang serta memastikan janji-janji kami ditunaikan kepada semua,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai persiapan PH dan khususnya PKR untuk menghadapi pilihanraya kecil DUN Rantau tidak lama lagi, Anwar berkata, mereka sudah bersiap-sedia dan bakal mengadakan mesyuarat pada esok dan lusa.

“Senarai calon ramai. Ada berbelas-belas,” jawabnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan segala urusan dan tarikh-tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Rabu ini.

Ini akan melibatkan penetapan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu di samping perbincangan mengenai persiapan-persiapan berkaitan.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast