Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (tengah) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang pelajar Cacat Pengilhatan (OKU) (kiri) yang turut hadir mengundi pada Pilihan Raya Kampus di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 04 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Masalah yang berlaku dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapat perhatian seluruh Exco Pendidikan dalam Pakatan Harapan (PH).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya mengalu-alukan langkah yang diambil oleh Pemuda PH dan exconya kerana ia selari dengan hasrat KPM.

“Yang nak bantu isu pendidikan bukan setakat Armada sahaja, Pemuda PH semua exco pendidikan PH.

“Semua bantu pendidikan sebab ini selari dengan hasrat kementerian iaitu Pendidikan untuk semua dan tanggungjawab semua. Jadi, kita alu-alukan pandangan semua pihak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Universiti Malaya (UM) sempena Pilihan Raya Kampus universiti itu.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Exco Pendidikan Armada yang memohon KPM untuk secara serius dan prihatin membantu kelicinan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia.

Langkah itu perlu diambil ekoran aduan yang diterima daripada beberapa buah sekolah seluruh negara oleh Biro Aduan, Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA) yang merupakan sebuah NGO Pendidikan di bawah Biro Pendidikan Armada.

Antara aduan yang diterima itu adalah isu kekurangan guru dan tiada peruntukan untuk guru ganti, isu peruntukan kertas dan isu peralatan sekolah.

Sementara itu Maszlee ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, Universiti Malaya merupakan sebuah universiti yang bertuah kerana selepas lima dekad kuasa pelajar untuk mengadakan pilihan raya kampus yang dikendalikan oleh pelajarnya sendiri dikembalikan semula.

Katanya, langkah membebaskan universiti daripada dibelenggu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) merupakan janji-janji yang ditunaikan oleh kerajaan hari ini.

“Apa yang berlaku pada hari ini adalah hadiah kepada pelajar, UM dan rakyat Malaysia dan juga Alumni universiti berkenaan.

“Universiti lain juga mengadakan pilihan raya kampus yang dikendalikan oleh pelajar tetapi UM amat signifikan kerana ia merupakan hari bersejarah kerana kali terakhir UM mengadakan pilihan raya kampus ialah pada tahun 1970. – MalaysiaGazette