Abdul Hadi diasak bertubi-tubi oleh Rafizi dan Anwar berhubung cek RM1.4 juta kepada Clare
Abdul Hadi diasak bertubi-tubi oleh Rafizi dan Anwar berhubung cek RM1.4 juta kepada Clare

PENDEDAHAN Rafizi Ramli berhubung pembayaran RM1.4 juta oleh Pas untuk menyelesaikan kes saman Presiden parti itu dengan Sarawak Report, secara tidak langsung telah membersihkan nama Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Seorang penulis, Ahmad Faiz Faiza ketika mendedahkan perkara itu dalam artikelnya yang disiarkan portal Malaysia Today semalam mendakwa, Naib Presiden PKR itu tidak memahami keadaan sebenar yang berlaku sehingga pendedahannya menjadi satu fitnah.

Katanya, kesilapan besar Rafizi ialah dalam siasatannya itu, telah menjumpai seorang individu bernama Rameli Musa, yang didakwanya sebagai orang yang bertanggungjawab membayar sejumlah wang kepada Clare Recastle Brown untuk menyelesaikan kes saman Abdul Hadi di luar mahkamah.

“Siapa Rameli Musa?” soal Ahmad Faiz dalam artikelnya.

“Adakah dia ahli Pas, atau adakah dia sahabat Abdul Hadi? Setahu saya, Rameli yang kaya itu adalah Pengarah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sekarang, yang ramai tahu dia adalah sahabat baik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Rameli juga sahabat salah seorang anak Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan sahabat baik pemimpin Pas. Adakah dia yang Rafizi maksudkan?” tanya beliau.

Malah, menurut penulis itu, jika dikaji pada dokumen yang didedahkan oleh Rafizi itu, ia dengan sendirinya membuktikan dakwaan berkenaan adalah satu fitnah terancang.

Ini, tegas beliau, adalah kerja ‘spin’ menggunakan dokumen yang ada untuk memfitnah Abdul Hadi dan Pas.

“Hanya jika seseorang itu mengkaji secara detail dokumen berkenaan, anda akan menyedari ia adalah fitnah.

“Kita ambil statement ‘Letter of Receipt and Undertaking’ yang mereka paparkan. Di situ ada tiga kondisi untuk duit itu dialihkan ke akaun Clare daripada akaun peguam, Americk Sidhu.

“Pertama, kes itu ditarik balik atau tidak diteruskan. Kedua, perintah mahkamah telahpun diterima, dan ketiga, cek itu telahpun clear dalam akaun Americk Sidhu,” ujarnya.

Namun, secara sinis beliau berkata, Rafizi dengan bangganya memperincikan secara detail bahawa akaun terbabit sebenarnya wujud dan ini adalah kod sekuriti biasa Bank Islam yang menyebabkan dokumen berkenaan tidak menampilkan nombor akaun sebenar.

Malah, katanya, bekas Ahli Parlimen Pandan itu menamakan pemilik akaun itu sebagai Rameli Musa.

“Tanpa dia sedari sebenarnya kenyataan dia itu telah secara sekali gus membersihkan Abdul Hadi dan Pas daripada dakwaan membayar Clare.

Saya sentiasa berhujah bahawa pemimpin Pakatan Harapan (PH) gagal memahami. Dia orang tidak faham apa yang orang lain tulis, dan mereka sendiri tidak faham apa yang mereka sendiri tulis,” katanya.

Selain itu, kata Ahmad Faiz, Rafizi juga tidak faham apa maksud dokumen yang beliau sendiri bongkarkan dan lebih memalukan, tidak faham akan fitnah yang mereka sendiri reka.

Sebelum ini, Rafizi dan Presidennya, Anwar mendedahkan mempunyai bukti cek sebagai tanda berlaku pembayaran sejumlah RM1.4  juta oleh Abdul Hadi kepada Clare di London.

Kononnya, kata beliau, pemimpin PH mahu membuktikan Abdul Hadi telah membuat pembayaran itu untuk menunjukkan kepada umum kononnya Pas tidak menerima duit RM90 juta dari 1MDB.

“Bermula dengan Anwar dalam ucapan kempennya di PRK DUN Semenyih baru-baru ini mempunyai bukti itu dan disambung pula oleh Clare sendiri dengan bukti dokumen mengenai pembayaran tersebut.

“Malangnya, bukti itu ditolak orang ramai apabila akaun yang dimaksudkan oleh Anwar dan Rafizi itu tidak dapat diakses.

“Ramai cuba menderma duit ke nombor akaun yang tertera di dokumen itu, tetapi gagal. Lebih malang lagi apabila nombor akaun itu bukan nombor akaun Pas mahupun nombor akaun peribadi Abdul Hadi,” dedahnya.

Ulas Ahmad Faiz lagi, penolakan orang ramai terhadap kesahihan akaun bank dan dokumen itu memaksa Rafizi untuk tampil memberi bantuan kecemasan.

Seperti biasa, jelas beliau, Rafizi dengan bangganya memperincikan secara detail bahawa akaun itu sebenarnya wujud dan ini adalah kod sekuriti biasa Bank Islam, yang menyebabkan dokumen itu tidak menampilkan nombor akaun sebenar.

Kata beliau, dari pendedahan pemimpin PKR itu, tidak ada satu pun dalam kondisi berkenaan menyatakan duit itu adalah pembayaran oleh Abdul Hadi kepada Clare mengikut terma penyelesaian luar mahkamah mereka di Mahkamah London.

“Yang ada hanyalah kondisi bahawa duit itu dibayar jika kes tersebut ditarik balik atau tidak diteruskan.

“Hak meneruskan kes adalah hak Clare yang boleh counter-claim jika Abdul Hadi menarik balik kes, tetapi hak menarik balik kes adalah hak Abdul Hadi sebagai penyaman.

“Bermakna, pihak yang membayar Clare adalah orang yang mahu bukan hanya Clare tidak meneruskan kes, tetapi juga mahu Abdul Hadi jatuhkan kes itu,” katanya.

Menurutnya, isu sekarang, jika ini adalah pembayaran kepada Clare oleh pihak ketiga, persoalannya tentulah kenapa?

Ini, katanya, telah pun dinyatakan oleh beberapa orang termasuk blogger Raja Petra dahulu, malah diulanginya lagi sekali semalam.

“Ceritanya Dr. Mahathir mahukan kes ini ditamatkan serta merta kerana saksi utama Abdul Hadi dalam kes itu adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Najib tidak dibenarkan ke luar negara, tetapi jika dipanggil mahkamah di London, ada kemungkinan Malaysia terpaksa akur dan membenarkannya. Dr. Mahathir takut jika Najib ke luar negara, dia tidak akan balik ke Malaysia lagi.

“Jika kita ambil cerita Raja Petra Kamaruddin ini, kaitan dengan apa yang dinyatakan Rafizi semakin jelas. Kaitan Rameli, tuan punya akaun pun jelas. Ini sebenarnya adalah duit yang Dr. Mahathir atau orang Dr. Mahathir bayar Clare, untuk meminta penyelesaian luar mahkamah dalam kes Abdul Hadi menyamannya di London.

“Ini bukan dokumen Abdul Hadi bayar Clare. Ini adalah dokumen orang Dr. Mahathir bayar Clare,” dakwanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ulasan yg bodoh lagi banggang.

    …betul ke PAS Bayar RM 1.4 M sebagai Pampasan utk Claire sepertimana di nafikan oleh tantawi, idris & takiyudin

Comments are closed.