KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memberi amaran keras kepada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu mengenai penutupan beberapa pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Pada masa sama, pertubuhan terbesar orang Melayu itu mengingatkan kepada satu blogger agar tidak menyiarkan laporan tidak benar kononnya MARA akan dikuburkan, dan mempersoalkan ‘di mana pejuang Melayu’.
Menurut Pengerusi Biro Ekonomi Perkasa, Dr. Nizam Baharom, rakyat perlu diingat penubuhan asal MARA melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Perindustrian Luar Bandar (RIDA) iaitu program yang membantu penduduk luar bandar dan petani Bumiputera.
Katanya, dengan penubuhan RIDA tahun 1951, MARA dapat melahirkan golongan cerdik pandai melalui program pendidikan dan juga keusahawanan.
“Mana-mana pihak yang berusaha atau ada unsur tidak baik terhadap MARA hendaklah menghentikan perbuatan itu.
“Ini kerana Bumiputera masih memerlukan MARA sebagai salah satu agensi untuk membantu mereka yang ketinggalan dari segi ekonomi dan pendidikan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan jika ada keinginan atau hasrat untuk menganggu pentadbiran agensi itu, lebih baik hentikan tindakan tersebut.
Ujar Dr. Nizam, pertubuhan itu melihat ada cubaan individu yang ingin mencampuri urusan pentadbiran MARA bagi menjayakan agenda politik mereka.
“Jika ini terjadi sila hentikan dengan segera.
“Mereka yang mempunyai kepentingan diri perlu melihat peranan MARA yang memajukan pendidikan dan ekonomi Bumiputera sejak bertahun lamanya.
“Jika mereka mempunyai kepentingan dan berhasrat untuk mengkuburkan MARA lebih baik datang berdialog dengan pihak kami di Perkasa,” katanya.
Katanya, Perkasa tidak akan membiarkan individu terbabit menongkah malapetaka bangsa Melayu di bumi Malaysia ini.
“Kami akan berdiri teguh bersama rakyat Malaysia dan menjamin kedudukan MARA yang memainkan peranan memartabatkan bangsa,” tegasnya. – MalaysiaGazette