Jodie Chesney and Yousef Makki. foto Agensi

LONDON – Dua remaja terbunuh dalam serangan pisau di Britain pada hujung minggu lalu, menjadikan jumlah mangsa yang terkorban tahun ini sekurang-kurangnya 24 orang.

Menteri Dalam Negeri British Sajid Javid berkata, beliau akan menemui ketua polis minggu ini untuk mencari kaedah menangani masalah itu dalam usaha menamatkan “keganasan yang tidak masuk akal”.

“Keganasan yang serius semakin meningkat,” kata Javid di Parlimen.

Polis berkata, peningkatan jenayah bersenjatakan pisau sukar ditangani, disebabkan beberapa faktor, termasuk persaingan antara geng dadah, pemotongan dalam perkhidmatan belia dan provokasi di media sosial.

Kes-kes tertumpu di kawasan-kawasan miskin di London.

Isu ini telah menembusi agenda politik selepas jumlah kematian akibat ditikam dengan pisau mencapai rekod pada tahun lalu.

Bilangan kanak-kanak di England berusia 16 tahun dan ke bawah ditikam meningkat sebanyak 93 peratus antara 2016 dan 2018.

Pada masa yang sama, polis telah mengalami pengurangan peruntukan dalam pengambilan kakitangan di bawah langkah-langkah penjimatan yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Theresa May, terutamanya ketika beliau menjadi menteri dalam negeri.

Dalam kematian terbaharu, seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun, Yousef Ghaleb Makki ditikam di sebuah kampung berhampiran Manchester ketika sedang melawat seorang teman.

Dua lelaki, juga berusia 17 tahun, ditahan kerana disyaki membunuh.

Sebelum itu, Jodie Chesney, seorang pengakap remaja berusia 17 tahun, terbunuh dalam serangan pisau di sebuah taman di timur London. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast