Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata beliau tidak akan hadir mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) BN yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini.

Ujarnya, beliau tidak mahu mengganggu mesyuarat berkenaan demi survival BN.

“Mesyuarat mungkin tidak dapat dijalankan kerana kenyataan MCA dan MIC yang mengatakan kalau saya datang, mereka tidak datang.

“Jadi saya tidak datang supaya mesyuarat boleh berjalan,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi.

Nazri menjawab pertanyaan media berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan dua parti komponen BN iaitu MCA dan MIC yang mengugut tidak akan hadir mesyuarat sekiranya beliau ada dalam mesyuarat berkenaan.

Jelasnya lagi, kedua-dua komponen BN itu perlu ada dalam mesyuarat berkenaan dan diberikan peluang membangkitkan isu pelantikannya sebagai Setiausaha Agung BN sebelum ini.

“MCA perlu diberi peluang berkenaan cadangan mereka supaya kita boleh bincang, tidak boleh tergantung isu ini terlalu lama dan saya tidak boleh menjadi sebab mesyuarat tidak dapat berjalan. Kita perlu selesaikannya.

“Saya juga nak MCA dan MIC bangkitkan isu pelantikan saya supaya ia boleh dibincangkan secara rasmi dan minta saya letak jawatan sebab mereka tak setuju,” katanya.

Letak jawatan

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata beliau mahu menghadiri mesyuarat berkenaan bagi mempertahankan dirinya.

“Saya tidak ada sebarang masalah jika saya ditolak, saya tak ada masalah dikeluarkan. Saya mahu bangkitkan soal pelantikan dan bincangkan dalam mesyuarat itu,” katanya lagi.

Isnin lalu, MCA dan MIC menegaskan hanya akan menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang sah bagi mengelakkan sebarang pertikaian undang-undang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan secara bersama, kepemimpinan dua komponen BN menjelaskan, mesyuarat bersama MCA dan MIC telah membuat ketetapan bahawa pelantikan Nazri sebagai Setiausaha Agung BN adalah tidak mengikut Perlembagaan parti itu. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: