Wee Ka Siong dan Vigneswaran

KUALA LUMPUR- MCA dan MIC enggan menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) Jumaat ini sekiranya Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz turut hadir ke mesyuarat berkenaan.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran dalam satu kenyataan bersama hari ini menegaskan, pelantikan Nazri sebagai Setiausaha Agung BN adalah tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan.

“Oleh yang demikian, kedua-dua parti telah menyampaikan pendirian yang jelas kepada Urusetia BN bahawa Nazri tidak layak untuk menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan pada Jumaat ini.

“Sekiranya Nazri berdegil dan hadir ke Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, maka kesahihan mesyuarat tersebut akan dipertikaikan.

“Demi mengelakkan sebarang pertikaian dari segi undang-undang, MCA dan MIC hanya akan menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang sah,” katanya.

Jelas mereka, mengikut Perlembagaan BN di bawah Fasal 8.3 (D), Setiausaha Agung hendaklah dilantik oleh Pengerusi setelah berunding dengan Dewan Tertinggi untuk memegang jawatan selama dua tahun bagi sesuatu perlantikan dan beliau bertanggungjawab ke atas pentadbiran Barisan Nasional.

Dengan itu, pelantikan Nazri sebagai Setiausaha Agung BN tidak pernah dibincang atau mendapat persetujuan secara rasmi di dalam Dewan Tertinggi BN walaupun ia diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 27 Oktober lalu.

“Semalam, sekali lagi Nazri menggunakan gelaran sebagai Setiausaha Agung BN dan seperti biasa meneruskan kritikan terhadap MCA dan MIC.

“Pendirian MCA dan MIC ialah Nazri tidak mempunyai “locus standi” untuk membuat sebarang kenyataan atas kapasiti sebagai Setiausaha Agung BN,” kata mereka lagi.

Semalam, Nazri menyelar cadangan MCA dan MIC untuk meneroka pembentukan sebuah parti gabungan baharu tanpa UMNO dengan menyifatkan ia adalah pengakhiran kepada masa depan politik kedua-dua parti berkenaan.

Ini susulan kenyataan yang dikeluarkan MCA dan MIC yang mahu meneroka pakatan politik baharu selepas mendakwa banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO berbaur perkauman.-MalaysiaGazette