KUALA LUMPUR – MCA dan MIC memberi amaran mungkin tidak akan bersama Barisan Nasional (BN) lagi ekoran kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang didakwa berbaur rasis baru-baru ini.

Dalam kenyataan bersama Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menegaskan, akibat kenyataan Ahli Parlimen Rengas itu, hubungan mereka dengan UMNO semakin ‘rosak’.

MCA dan MIC juga tidak pernah mengiktiraf Mohamed Nazri sebagai Setiausaha Agung BN sebelum ini.

“Ucapan berbaur rasis yang dikeluarkan oleh pemimpin UMNO, Mohamed Nazri di Semenyih semasa kempen PRK DUN Semenyih minggu lalu telah lagi merosakkan hubungan antara parti perikatan UMNO, MCA dan MIC,” kata Ka Siong dan Vigneswaran dalam kenyataan yang sama hari ini.

Menurut mereka, apa yang berlaku seolah-olah BN sudah kehilangan tanda hormat-menghormati sesama parti komponen  dan telah mencabul semangat konsensus dan setiakawan yang terjalin selama ini.

BN, kata mereka, telah diukir oleh tokoh pemimpin demi membawa perpaaduan, kestabilan dan harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Malangnya, ‘tembok suci BN’ yang dilindungi selama ini mula runtuh apabila pemimpin dalam komponen pembangkang itu mula menyerang sesama mereka,” katanya.

Tambah mereka, tindakan Mohamed Nazri yang mengulangi ucapan rasis dan tindakan UMNO terus mendiamkan diri benar- benar ‘menghancurkan’ asas perasaan hormat-menghormati yang dianuti dan dipertahankan BN selama 60 tahun lalu.

“Jadi, kami tiada pilihan melainkan mencari gabungan baharu yang mampu menegakkan semula dan mengembalikan perpaduan itu.

“Kami juga mendesak Majlis Tertinggi BN mengadakan satu mesyuarat tergempar untuk menentukan nasib dan masa depan komponen parti itu.- Malaysiagazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/25/terkini-mca-tak-iktiraf-saya-setiausaha-agung-bn-nazri-aziz/