Jeram Lobster Agrotech kini menjadi pengusaha terbesar di Selangor dan kedua terbesar di Malaysia.

JERAM – Menu lobster atau udang kara masak sambal pedas dan masak lemak cili api antara juadah yang sering menjadi pilihan peminat hidupan air itu.

Walaupun harga agak mahal, ia bukan alasan untuk memenuhi selera untuk meratah dah merasa isinya yang enak apatah lagi mengandungi protein yang tinggi, rendah lemak dan kalori rendah.

Namun syarikat penternakan lobster air tawar kini berdepan masalah untuk memenuhi permintaan pasaran yang tidak putus-putus.

Salah satunya Jeram Lobster Aggrotech (Jeram Lobster) yang mengakui pihaknya tidak mampu menampung bekalan haiwan ternakan itu yang kini mendapat sambutan luar biasa walaupun menjadi pengusaha terbesar di Selangor dan kedua terbesar di Malaysia.

8J0A0946
Lobster atau udang kara kini mendapat permintaan yang luar biasa di pasaran.

Pengasasnya, Tengku Muhammad Azrul Ariff Che Engku Chik berkata, ketika ini syarikatnya hanya mampu membekalkan antara 100 kilogram (kg) hingga 150 kg sebulan namun jumlah itu masih tidak mencukupi di pasaran.

Beliau berkata, bekalan itu di pasaran di restoran-restoran besar di Kuala Lumpur dan juga peraih.

“Lobster air tawar hari ini merupakan antara makanan mendapat permintaan tinggi di negara ini walaupun dianggap makanan VIP.

“Maka tidak hairanlah sajian yang disediakan berasaskan lobster ini sentiasa diminati penggemarnya hingga saya tidak mampu memenuhi permintaan yang tidak putus-putus,” katanya.

8J0A0928
Pengasas Jeram Lobster, Tengku Muhammad Azrul Ariff Che Engku Chik

Jeram Lobster mula beroperasi sejak Oktober tahun lalu di atas tanah berkeluasan enam hektar tetapi kerja-kerja penyediaan kolam dibuat lebih awal pada bulan April.

Tengku Muhammad Azrul memberitahu, ketika ini perniagaan itu dikendalikan bersama ahli keluarga iaitu ayahnya juga bekas pesara bomba dan abang yang merupakan bekas pengawal keselamatan.

Jelas beliau, sehingga kini pihaknya memilik empat kolam tanah, 10 tangki poli dan 14 tangki simen.

“Idea untuk menceburi perniagaan lobster itu tercetus pada Mac tahun lalu selepas bapa saudara di Kelantan berdepan kesukaran untuk membekalkan haiwan itu di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.

8J0A1067
Ternakan lobster boleh diusahakan di dalam tangki poli dan tangki simen.

“Apatah lagi, melalui perasaan tenang apabila melihat kehidupan menternak lobster air tawar (LAT) ini selain selepas mengkaji mengenai permintaan yang sangat tinggi membuatkan saya minat untuk menceburinya.

“Walaupun saya memiliki firma perakaunan tetapi kerana minat dan pasaran lobster yang luas, saya turut membantu di bahagian pemasaran dan kewangan sementara di bahagian operasi diuruskan oleh ayah dan abang,” kata lelaki berusia 30 tahun ini.

Sebagai komited tinggi, bapa kepada seorang anak ini sanggup mengeluarkan modal yang besar mencecah RM100,00 hasil simpanan sendiri dan keluarga untuk memenuhi permintaan pasaran.

Namun beliau mengakui berdepan pelbagai cabaran yang perlu tempuhi pada peringkat permulaan berjinak dalam industri itu terutamanya berkaitan faktor kualiti air.

8J0A1011
Kolam tanah juga sesuai untuk ternak lobster.

Pada masa sama akuinya, udang kara air tawar juga tidak mudah dijangkiti penyakit selain mampu hidup tiga hingga empat jam tanpa air.

Menurutnya, proses membela losbter juga cukup mudah dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

“Pengusaha perlu memastikan kandungan pH air kolam sesuai untuk ketahanan udang tersebut.

“Setelah kandungan air kolam neutral, kita akan memasukkan benih ke dalam kolam.

“Proses penjagaannya pula cukup senang, kita akan memberi makan dedak dalam bentuk palet dan sayuran dua kali sehari.

“Selain itu, kita meletakkan pelepah kelapa sawit ke dalam kolam bagi dijadikan tempat udang bersarang dan berlindung kerana haiwan ini gemar bersembunyi,” katanya yang bermula dengan 10,000 ekor benih udang kara.

8J0A0920
Tengku Muhammad Azrul menjalankan perniagaan ternakan lobster bersama bapanya.

Tengku Muhammad Azrul memberitahu lobster akan dijual selepas tumbesarannya mencapai kira-kira 15 sentimeter (sm) dan ini adalah saiz biasa yang mendapat permintaan pelanggan walaupun ia boleh mencecah saiz matang sehingga melebihi 30 sm.

“Pada peringkat awal, saya ternak lobster ini dalam kolam simen dan tangki plastik tetapi tumbesarannya bertambah kira 2.5sm sebulan serta perlu menunggu selama enam bulan untuk mencapai saiz ideal.

“Kemudian saya ternak dalam kolam tanah dan menerusi cara ini lobster membesar dengan cepat serta memerlukan hanya empat bulan setengah untuk mendapat saiz dikehendaki,” katanya yang turut membiak sendiri benih udang berkenaan.

Beliau berkata, pihanya menyasarkan dapat membekal lobster lebih 500 kg sebulan sepanjang tahun ini dan jika perancangan berjalan lancer dapat meningkatkan bekalan hingga dua tan sebulan.

8J0A0859
Bakal usahawan ternak lobster yang meninjau konsep penternakan Jeram Lobster.

Jelasnya, Jeram Lobster juga kini berkolaborasi dengan bakal-bakal penternak menerusi pelbagai pakej usahawan yang diperkenalkan.

“Kami menyediakan pakej penternakan bagi mereka yang ingin menternak secara sendiri dan mereka yang bekerjasama sebagai usahawan lobster.

“Pandangan saya, industri LAT ini sangat luas pasarannya dan boleh menjana pendapatan yang lumayan dan saya sangat yakin apabila kerajaan memandang serius di dalam industri ini agar usahawan lobster bakal setanding dengan negara-negara lain.

“Ini merupakan permulaan yang baik bagi mereka yang ingin bergelar usahawan lobster dengan menjadi individu terawal di dalam industry,” katanya.

Mereka yang berminat dengan penternakan lobster boleh menghubungi Jeram Lobster di talian 010-245 2415. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast