Felcra
Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Mohd Nazrul Izam Mansor.

KUALA LUMPUR – Tiada tindakan tata tertib diambil kepada Ketua Pegawai Operasi (COO) Felcra, Khairi Mahamor yang menengking pekerja ladang seperti yang disiarkan dalam satu klip video tular beberapa hari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Mohd. Nazrul Izam Mansor berkata, ahli lembaga pengarah yang bermesyuarat pagi tadi telah membincangkan insiden tersebut secara terperinci dan nasihat telah diberikan kepada Khairi supaya perkara tersebut tidak berulang lagi.

Beliau juga mengesahkan kejadian itu berlaku semasa Program Kembara Ladang di Projek Felcra Berhad Kg. Serambi, Pekan, Pahang pada 2 Mac lalu.

“Program Kembara Ladang adalah merupakan usaha terkini Felcra di dalam program turun padang pengurusan ladang milik peserta dan Felcra ke arah meningkatkan produktiviti demi manfaat warga peserta.

“Justeru itu, setiap lapisan pengurusan Felcra dalam bidang yang lain turut menumpukan usaha gigih meningkatkan lagi pulangan kepada warga peserta.

“Usaha-usaha ini, yang sedang dilaksanakan telah menghasilkan kejayaan awal di mana Lembaga Pengarah telah dimaklumkan bahawa prestasi ladang dan kilang menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Felcra, Datuk Nageeb Wahab berkata, perbuatan Khairi itu sebenarnya adalah perkara biasa di ladang.

Bagaimanapun beliau tidak cuba untuk menegakkan benang yang basah dengan mengatakan perbuatan COO itu tidak salah dan perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat lembaga pengarah.

Sebelum itu, Felcra menerusi Twitter rasminya telah memuatnaik satu klip video seorang pekerja wanita yang dipercayai sebagai salah seorang pekerja yang ditengking Khairi untuk memberi penjelasan.

Menurutnya, corak pengajaran sebegitu adalah biasa untuk pekerja-pekerja dalam industri peladangan.

Katanya, ketika video berkenaan diambil, Khairi melihat jumlah buah sawit kurang masak melebihi yang telah masak dan sekiranya perkara tersebut dibiarkan berterusan, ia akan menyebabkan kerugian. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast