Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang memberi amaran gabungan UMNO-Pas akan mengisytiharkan perang terhadap orang bukan Melayu adalah  tidak bertanggungjawab, tidak bertamadun dan bahaya.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kenyataan tersebut juga membawa persepsi buruk terhadap perpaduan di negara ini di mana Guan Eng seperti cuba menakut-nakutkan orang bukan Melayu bahawa kerjasama Pas-UMNO akan membawa bahaya kepada bukan Melayu.

“Lim Guan Eng perlu meminta maaf kepada rakyat kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Khalil mengulas laporan portal berita MalaysiaKini dengan tajuk awal Lim warn UMNO – PAS union will declare war on non-malays yang kemudian ditukar kepada  Lim warn UMNO – PAS union will target non-malays,

Menurutnya, walapun tajuk tersebut ditukar, namun beliau tetap berpendapat bahawa Guan Eng masih lagi cuba bermain api perkauman.

Beliau turut melontarkan soalan kepada Guan Eng, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan “penyatuan PAS – UMNO akan mengisytihar perang terhadap orang bukan Melayu atau jika berpandukan U-TURN terbaru setelah di tukar tajuk, penyatuan PAS – UMNO akan menjadikan orang bukan Melayu sebagai sasaran?

“Adakah Lim Guan Eng cuba membangkitkan sentimen perkauman dengan kenyataan tersebut? Adakah selama ini Pas mahupun UMNO menindas orang bukan Melayu atau kenyataan tersebut hanya untuk menaikkan sentimen orang bukan Melayu?

“Adakah ini jenis Malaysia Baharu yang DAP canangkan? Jika ini Malaysia Baharu tersebut, ia jelas cukup tidak bertanggungjawab, tidak bertamaddun dan cukup bahaya kepada perpaduan kaum dan negara,” katanya.

Muhammad Khalil berkata, penghinaan terhadap mana-mana agama, bangsa dan kaum di dalam negara adalah salah, tidak bertamaddun, tidak bertanggungjawab serta memang patut didakwa.

Katanya, belum pernah lagi dalam negara sejak merdeka berlaku penindasan terhadap mana-mana agama, bangsa mahupun kaum.

Jika hanya untuk menyatu padukan orang Melayu Islam di anggap bahaya, ia adalah pemikiran yang cukup cetek, katanya.

“Adakah salah untuk orang Melayu Islam bersama walau berlainan ideologi dan pemikiran? Jika itu Lim Guan Eng anggap ancaman kepada orang bukan Melayu, dia patut bubar saja PH sama seperti dibubar Pakatan Rakyat,” katanya.

Pas, menurut Muhammad Khalil  tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum dalam negara malah parti itu berbangga mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS ( DHPP ) yang dianggotai pelbagai agama, kaum dan bangsa.

“Malah di Kelantan dan Terengganu, tidak pernah berlaku ketidakadilan terhadap agama, bangsa dan kaum lain. Tanyalah mereka dan cuba dekati Pas, kemudian anda akan sedar Pas lebih baik daripada PH terutamanya DAP.

“Pas bukan rasis dan ektremis agama, sebenarnya anda di tipu hanya kerana kepentingan politik sempit segelintir pihak,” katanya. – MalaysiaGazette