Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Polis perlu mengambil tindakan segera terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan beliau bahawa kerjasama UMNO dan Pas sebagai pengisytiharan perang terhadap orang bukan Melayu dan Islam adalah bersifat rasis.

“Apakah kita hari ini berada di bawah pemerintahan kerajaan yang rasis dan mengamalkan sikap perkauman ketara dengan mengetepikan konsep saling menghormati kaum dan agama?

“Kenyataan ini dianggap sebagai hasutan dan provokasi kepada orang bukan Melayu terhadap orang Melayu, dan ianya tidak ubah seperti tindakan Lim Kit Siang yang memimpin DAP pada 13 Mei 1969, yang akhirnya mencetuskan rusuhan kaum terburuk dalam sejarah negara,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Sebuah portal semalam, memetik kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu.

Bagaimanapun, selepas itu Menteri Kewangan itu telah mengubah kenyataannya dan frasa ‘pengisytiharan perang’ kepada ‘menyasarkan’.

Ismail Sabri mempersoalkan, apakah Guan Eng mahu orang bukan Melayu juga mengisytiharkan perang terhadap orang Melayu dan tindakannya itu sangat berbahaya kepada perpaduan di negara ini.

Ujar beliau, tindakan itu adalah jahat dan amat tidak bertangggungjawab.

“Sebagai seorang menteri, dia sepatutnya menyeru kepada perpaduan antara kaum sehingga mutakhir ini orang Islam dicabar begitu dahsyat sehinggakan Nabi Muhammad pun dihina oleh bukan Islam.

“Walaupun Nabi Muhammad dihina, ada kita tidak dengar walau sepatah komen dan kenyataan dari Guan Eng mengutuk tindakan sedemikian?” katanya sambil menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan itu menggambarkan sikap sebenar beliau sebagai seorang pemimpin yang sangat rasis dan perkauman.

Mengulas lanjut, jelas Ismail Sabri, kerjasama UMNO-Pas hanya untuk menyatupadukan Melayu dan Islam tanpa meminggirkan kaum lain.

Katanya, tidak ada niat langsung untuk membuat provokasi ke atas kaum lain, malah Islam sentiasa adil dan menjaga kepentingan kaum minoriti.

“Tanggapan jahat ini lahir dari dalam dirinya sendiri yang sentiasa berfikiran rasis sempit.

“Jika tindakan dan sikap menghasut beliau ini dibiarkan tanpa tindakan, saya bimbang ianya akan mencetuskan bencana kepada negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette