Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap dalam sidang media Majlis Perasmian Transformasi Digital Dana Industri (IDTF) dibawakan oleh Bank Pembangunan di Nusantara Ballroom, Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 07 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – “Baca kenyataan terbaharu saya. Saya rasa saudari tidak baca kenyataan terbaharu,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika diminta mengulas kenyataan berbaur hasutan yang dikeluarkannya seperti dalam artikel bertajuk “Kerjasama Pas – UMNO adalah pengisytiharan perang kepada bukan Melayu.”

Tajuk asal itu kemudian diganti menjadi “Lim beri amaran UMNO-Pas akan mensasarkan bukan Melayu” dengan nota editor mengatakan Setiausaha Agung DAP itulah membetulkan kenyataan awalnya yang menggunakan perkataan asal “perang terhadap bukan Melayu.”

Guan Eng yang enggan mengulas lanjut mengenai kecaman dan laporan polis yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk daripada parti bukan Melayu sendiri seperti MCA berkata, kritikan daripada parti lawan adalah perkara biasa.

“Ia bukan perkara yang menghairankan kerana kita parti lawan tentulah mereka minta tindakan diambil ke atas parti lawan.

“Untuk kawan-kawan baharu (MCA) seperti UMNO-Pas, mereka tidak akan berbuat demikian

“Pada masa yang sama, saya hendak persoalkan kenapa MCA berdiam diri apabila Pas atau UMNO menyerang kami, bila saya beri peruntukan kepada sekolah Cina? Atau mengapa UMNO atau Pas berdiam diri apabila MCA baru-baru ini menyerang saya habis-habisan apabila saya beri peruntukan kepada sekolah agama.

“Itu sahaja saya hendak cakap,” tegasnya.-MalaysiaGazette