WASHINGTON – Presiden Donald Trump sangat kecewa terhadap pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un sekiranya laporan pembangunan semula tapak pelancaran roket di negara itu benar.
Dua badan pemikir bebas Amerika Syarikat dan agensi berita Korea Selatan melaporkan kerja-kerja pemasangan semula perkakasan di Stesen Pelancaran Satelit Sohae dipasang semula.
Pemasangan itu dilakukan selepas pertemuan kali kedua Trump dan Jong-un di Hanoi, Vietnam, minggu lalu.
“Saya sangat kecewa jika ia berlaku,” kata Trump kepada media di Oval Office ketika ditanya jika Korea Utara melangagr janji yang dibuat.
“Kita lihat dulu. Terlalu awal….Itu hanya sekadar laporan awal. Kita yang mendorong mereka mengeluarkannya. Tetapi saya akan sangat, sangat kecewa jika Kim Jong-un dan saya tidak saya (akan kecewa), tetapi kita lihat apa akan berlaku. Kita lihat dahulu. Ia akhirnya akan diselesaikan,” ujar Trump lagi.
Korea Utara mula membuka perkakasan di tapak ujian enjin peluru berpandu di Sohae tahun lepas selepas berjanji untuk melakukannya pada sidang kemuncak pertama dengan Trump pada bulan Jun tahun lalu di Singapura.
Sidang kemuncak kedua antara Trump dan Jong-un gagal mencapai sebarang keputusan sejauh mana Korea Utara sanggup menghadkan program nuklearnya dan penarikan semula sekatan oleh Amerika Syarikat.
Imej satelit yang dilihat oleh 38 Utara, sebuah projek Korea Utara yang berpangkalan di Washington, menunjukkan struktur di pad pelancaran Sohae telah dibina semula antara 16 Februari dan 2 Mac lalu. kata Jenny Town, pengurus editor di projek itu.
Pusat Pemikir Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa mengeluarkan laporan yang berasingan, juga menyebut citra satelit, menyimpulkan Korea Utara sedang membuat pembinaan semula di tapak tersebut. – MalaysiaGazette