NEW YORK – Harga minyak tinggi dalam dagangan hari ini dipacu oleh pengurangan bekalan oleh OPEC dan sekatan terhadap eksport Venezuela dan Iran.

Bagaimanapun, keuntungan dihalang oleh kejatuhan pasaran saham dan kebimbangan baharu terhadap pertumbuhan permintaan.

Niaga hadapan Brent naik sebanyak 0.47 peratus kepada AS$66.30 setong manakala West Texas Intermediate pula naik kepada AS$56.66 setong.

“Gambar besar adalah fundamental jangka pendek sangat kukuh,” kata Phil Flynn kata penganalisis di Price Future Group sambil mengakui masih ada yang bimbang tentang bekalan.

OPEC dan Rusia telah bersetuju untuk mengurangkan bekalan dan mengawal pasaran minyak dalam usaha menyokong harga komoditi itu.

Sekatan Amerika Syarikat ke atas industri minyak ahli OPEC iaitu Iran dan Venezuela telah menyokong harga hadapan, kata pedagang.

PDVSA, syarikat minyak Venezuela telah mengisytiharkan kecemasan maritim kerana menghadapi masalah untuk akses kepada tangki dan pekerja untuk eksport disebabkan sekatan yang dikenakan.

Semasa Amerika Syarikat melaksanakan sekatan semula ke atas minyak Iran pada bulan November, Washington telah memberi pengecualian kepada lapan pembeli minyak Iran tetapi pada jumlah yang terhad.

Washington terus memberi tekanan kepada kerajaan-kerajaan berkenaan untuk mengurangkan import Iran secara berperingkat-peringkat kepada sifar tetapi para pengimport terus berunding untuk lanjutan.

India misalnya terus membeli minyak Iran pada paras kira-kira 300,000 sehari. – MalaysiaGazette