Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – MCA tidak akan mempertahankan kenyataan Lim Guan Eng yang berbaur perkauman.

Presiden MCA secara halus berkata, hari ini dan sampai bila-bila pun beliau masih dengan pendirian sama bahawa bukan hanya memperjuangkan SJKC tetapi juga sekolah pondok dan tahfiz.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, walaupun ahli-ahli MCA berbangsa Cina tetapi sejak turun temurun parti itu juga memperjuangkan kepentingan semua kaum di Malaysia.

Tegasnya, MCA mengamalkan politik matang dan tidak berminat untuk terperangkap dengan politik kebencian atau mengadu domba.

Ka Siong membuat kenyataan itu bagi menjawab kenyataan Guan Eng yang menempelak MCA yang menyerangnya tetapi bukan UMNO dan Pas.

Guan Eng sebelum itu mendakwa berkecil hati dengan MCA kerana mengutuk kenyataannya yang menggunakan frasa “pengisytiharan perang” dengan kaum bukan Melayu tetapi tidak mengutuk kenyataan racist daripada pemimpin-pemimpin lain.

“Selepas teruk dikecam rakyat Malaysia, Lim Guan Eng hari ini dilihat tidak senang duduk dan terpaksa ‘menarik’ tangan MCA untuk terjerumus ke dalam permainan politik sempitnya,” kata ahli Parlimen Ayer Hitam itu.

Kata Ka Siong, Guan Eng menjelaskan beliau telah mengeluarkan satu kenyataan untuk memperbetulkan kenyataan terdahulu yang dikatakan hanya satu ‘draf’ tetapi ‘terlepas pandang’ dan diedarkan kepada media.

“Maksudnya, kenyataan Guan Eng itu bukanlah disalah petik (misquoted) oleh media.

“Guan Eng kemudiannya meminda kenyataan tersebut akibat daripada kemarahan dan kecaman daripada segenap lapisan masyarakat.

“Saya sungguh hairan kenapa Guan Eng sendiri mengaku bahawa “pengisytiharan perang” yang termaktub di dalam kenyataan media asalnya itu setaraf dengan kenyataan racist seperti pemimpin-pemimpin lain.

“Guan Eng, mulut jangan celupar lagi!,” nasihat Ka Siong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast